Wan Fayhsal (kiri) bercakap sesuatu kepada Wan Kuzri di Kem Latihan Pusat Skuad B-19 negara.
Wan Fayhsal (kiri) bercakap sesuatu kepada Wan Kuzri di Kem Latihan Pusat Skuad B-19 negara.
Firdaus Hashim


KELIBAT Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal di padang latihan Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya petang semalam, nyata tidak disenangi segelintir pihak.

Beliau yang hadir bagi memberi sokongan kepada adiknya, Wan Kuzri yang pertama kali menyertai latihan pusat fasa 1 skuad bawah 19 (B-19) negara dianggap tidak baik dan boleh mencetuskan rasa bias dalam pemilihan pasukan kali ini.

Salah satu portal bola sepak tempatan iaitu YouthFootball Malaysia meluahkan pandangan proses pemilihan pemain di lihat boleh mempengaruhi keputusan barisan kejurulatihan FAM ekoran kedudukannya selaku individu penting dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pandangan yang dikongsikan di dalam laman Twitter itu kemudiannya mencuri perhatian Wan Kamal yang juga bapa kepada Fayhsal dan Kuzri.

Menurutnya, beliau bersetuju dengan YouthFootball Malaysia itu dan mahu Kuzri tidak diganggu ketika latihan yang akhirnya boleh menjejaskan tujuan asal pemain itu hadir ke Malaysia untuk membantu skuad kendalian Maloney.

"Setuju! (pandangan YouthFootball Malaysia). Tolong jangan ganggu Kuzri di mana dia perlu memberi tumpuan terhadap cabaran yang akan dilaluinya.

"Dia ke sana dengan satu tujuan iaitu merebut tempat dalam kesebelasan pasukan B-19 Malaysia. Terima kasih," katanya.

Twitter Wan Kamal.
Twitter Wan Kamal.

Ketika ini, seramai 33 pemain dipanggil menjalani sesi latihan dan pemilihan bagi membolehkan mereka dipilih serta di bawa ke kem fasa kedua bersama beberapa tonggak utama yang tidak senaraikan kali ini.

Dijangka latihan berikut adalah pada September ini dengan perancangan untuk membawa pasukan berlatih di sekitar Asia Tengah terutamanya Uzbekistan bagi menyesuaikan pemain dengan cuaca sejuk di sana.

Semalam, Kuzri, 18, pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menyertai latihan bersama skuad muda negara buat kali pertama selepas menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Skuad B-19 negara ketika ini dalam tempoh persiapan menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14-31 Oktober ini.

Di Uzbekistan nanti, anak didik Maloney diletakkan dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar dan dua pasukan sedang meningkat naik, Tajikistan dan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 6:58 PM