LUQMAN bersama ejennya dari EL-EF Sport. FOTO Ihsan Instagram Luqman Hakim Shamsudin
LUQMAN bersama ejennya dari EL-EF Sport. FOTO Ihsan Instagram Luqman Hakim Shamsudin
Firdaus Hashim


SELAIN kelab utama Belgium, KV Kortrijk yang cukup berminat dengan Luqman Hakim Shamsudin, difahamkan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) turut berhasrat memburu penyerang muda sensasi negara itu.

Keinginan tinggi kelab EPL berkenaan didorong oleh bantuan ejen barunya EL-EF Sport yang berpengkalan di Kota London dan dipercayai Luqman sedang memikirkan tawaran berkenaan.

Seperti mana yang dilaporkan oleh Arena Metro Khamis lalu, wakil kelab KV Kortrijk turut terkejut apabila mengetahui pemain berusia 18 tahun itu sudah mengikat perjanjian bersama ejen antarabangsa terbabit.

Ia sekali gus menyebabkan KV Kortrijk terpaksa berhubung dengan ejen berkenaan bagi menawarkan kontrak kepada Luqman.

Bagaimanapun, hari ini syarikat terbabit mengesahkan status Luqman menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di laman media sosial mereka.

"EL-EF SPORT dengan sukacitanya mengumumkan menandatangani salah seorang bakat muda paling menarik, @ luqmansham_10.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Luqman dan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk dia memulakan perjalanan profesionalnya," kata ejen itu di akaun Instagramnya.

Hasil tinjauan Arena Metro, EL-EF SPORT turut memiliki pejabat operasinya di Kuala Lumpur bagi zon Asia Tenggara.

Jika benar kelab EPL turut memburu Luqman, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sentuhan penyudah dimilikinya sememangya cukup berbisa.

Malah, 'sahamnya' turut mencanak naik apabila diiktiraf sebagai salah seorang daripada 60 pemain remaja terbaik dunia pada tahun lalu oleh media antarabangsa, The Guardian yang berpengkalan di Britain pada tahun lalu susulan kejayaannya muncul penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 pada 2018.

Maka tidak mengapa media Britain turut melebalkannya sebagai pengganti Allahyarham Mohtar Dahari yang pernah menghukum Arsenal dalam satu perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur pada 1975.

Untuk rekod, KV Kortrijk menawarkan kontrak selama lima tahun dengan gaji RM15,000 sebulan serta sebuah rumah sekiranya Luqman bersetuju menyertai kelab kepunyaan ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 11:52 PM