Syed Qamarul Firdaus
Syed Qamarul Firdaus
Oleh Firdaus Hashim


TAWARAN kontrak profesional dengan gaji sebulan mencecah RM15,000 atau 3,000 euro (€) meletakkan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sebagai penerima gaji paling tinggi oleh pemain tempatan yang pernah beraksi di luar negara terutama di Eropah.

Menurut ejen terkenal, Syed Qamarul Firdaus Samat yang juga pemilik I One Sports Agency, tawaran berkenaan dilihat lumayan buat seorang pemain yang baru mencecah usia 18 tahun, ditambah pula datang dari negara kuasa bola sepak dunia sekali gus membuatkan Luqman benar-benar istimewa di mata kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk.

Malah, Syed Qamarul turut mengakui Luqman adalah pemain Malaysia pertama yang menerima gaji lebih 2,500€ sebulan mengatasi pemain seperti Nazmi Faiz Mansor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Rudie Ramli yang sekadar menerima gaji tidak lebih daripada 2,500€.

Untuk rekod, Nazmi pernah beraksi di liga divisyen dua Portugal bersama kelab SC Beira-Mar pada 2013 manakala Akmal dengan kelab divisyen tiga Perancis, RC Strasbourg dan FCSR Haguenau (1999-2001) sementara Rudie menyertai liga dua Jerman, SV Wehan (2001).

"Nazmi dulu gajinya tak sampai 2,000€ dan sebab itu dia tak boleh nak kekal lama dengan gaji sekecil itu. Malah, rumah kena bayar sendiri. Akmal pula bukan main kelab besar sekadar pasukan divisyen tiga Perancis saja, begitu juga dengan Rudie.

"Tapi Luqman bagi saya menerima tawaran agak tinggi sebagai seorang pemain muda. Gaji 3,000€ ditambah dengan rumah percuma, saya kira ia tawaran amat baik untuknya di sana. Kena faham juga, kelab yang Luqman sertai ini bukan main divisyen bawah, tetapi liga utama di mana banyak mata akan melihat kemampuan Luqman dan dia berpeluang memperagakan aksi di depan kelab besar seperti SC Anderlecht, Club Brugge KV, Royal Antwerp FC dan lain-lain," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, akhbar ini mendedahkan penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia B-16 pada 2018 itu ditawarkan kontrak selama lima tahun oleh KV Kortrijk dengan nilai gaji RM15,000 sebulan serta rumah.

Malah, difahamkan sekiranya prestasi pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meningkat, kelab Belgium berkenaan tidak berdepan masalah untuk menilai semula tangga gajinya dan sedia menambah nilai pendapatan penyerang licik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 6:00 AM