LUQMAN (kanan) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dan tidak hanyut dalam sebarang isu yang boleh merosakkan kerjayanya.
LUQMAN (kanan) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dan tidak hanyut dalam sebarang isu yang boleh merosakkan kerjayanya.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak perlu terburu-buru menentukan masa depannya ketika dia kini dalam dilema untuk menerima tawaran kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United ataupun Liga Jupiler Belgium, KV Kortrijk.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, kejayaan mengetuk pintu dua kelab Eropah itu perlu diteliti dengan sebaik-baiknya oleh Luqman, namun beliau percaya KV Kortrijk adalah destinasi terbaik terutama dalam membina tapak di Eropah.

Serbegeth yang memiliki pengalaman di EPL pada 2012 selepas dilantik sebagai penasihat global Blackburn Rovers FC mengakui persaingan di liga utama England itu amat sengit dengan ribuan pemain seluruh dunia tertumpu di negara itu.

Jelasnya yang mesra disapa Shebby, Luqman yang baru berusia 18 tahun perlu menyesuaikan diri terlebih dulu dengan suasana, tempo dan corak permainan agresif ala Eropah dan Liga Jupiler sesuai buat pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Katanya, KV Kortrijk mungkin langkah pertama buat pemain muda itu mencipta nama, sekali gus tidak mustahil boleh menjadi perhatian kelab lain di benua itu sekiranya menunjukkan prestasi terbaik.

"Tidak mustahil mana-mana pemain beraksi di EPL, tetapi jelas ada syarat tertentu bagi pemain dari negara yang rankingnya rendah.

"Walaupun boleh meminjamkan ke kelab lain untuk tempoh tertentu, baik dia mula dengan kelab sederhana seperti KV Kortrijk. Untuk Luqman yang penting adalah menjadi pemain regular (kesebelasan) dan banyak beraksi di Liga Belgium.

"Jangan terlalu banyak memikirkan liga utama Eropah macam EPL dan LaLiga. Mulakan dari bawah dan buat yang terbaik supaya dapat menyerlah dan tak mustahil dia boleh jadi rebutan kelab yang lebih besar," katanya kepada Arena Metro.

SERBEGETH SINGH
SERBEGETH SINGH

Akhbar ini semalam melaporkan, selain KV Kortrijk yang berminat untuk mendapatkan sentuhan Luqman, difahamkan Newcastle United turut mengintai peluang mengikat penyerang muda itu.

Serbegeth turut mengingatkan Luqman tidak hanyut dalam sebarang isu yang boleh merosakkan kerjayanya.

"Dia hanya akan diberi tumpuan sekiranya menyerlah di peringkat tertinggi seperti bermain di Eropah. Fokus bantu KV Kortrijk menjuarai liga dulu dan kemudian baru susun langkah demi langkah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:01 AM