LUQMAN dikatakan diintai Newcastle United untuk mendapatkan sentuhannya.
LUQMAN dikatakan diintai Newcastle United untuk mendapatkan sentuhannya.
Oleh Firdaus Hashim


MUNGKINKAH nasib penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal bersinar seperti watak Santiago Munez dalam filem Goal!?

Ia selepas difahamkan Luqman, 18, turut diintai kelab terkenal Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United yang berminat untuk mendapatkan sentuhannya.

Seperti filem Goal! di mana Munez seorang budak jalanan di Los Angeles, Amerika Syarikat akhirnya berjaya mengubah kisah dogeng hidupnya menjadi realiti apabila diikat Newcastle United sebelum dia kemudian disambar Real Madrid susulan peningkatan dalam permainannya.

Mungkin skrip sama juga boleh berlaku kepada Luqman seandainya tawaran berkenaan diterima oleh pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, keinginan tinggi kelab EPL berkenaan didorong oleh bantuan ejen baharunya, EL-EF Sport yang berpangkalan di Londan dan kini Luqman sedang memikirkan tawaran itu.

"Kelab EPL yang dimaksudkan adalah Newcastle United. Tetapi tawaran berkenaan belum muktamad cuma memang benar tawaran itu wujud dan ia datang dari Newcastle.

"Namun pada masa sama, Luqman juga sedang timbangkan tawaran kelab utama Belgium, KV Kortrijk," katanya kepada Arena Metro.

Tawaran kelab EPL itu sememangnya mengejutkan, namun tidak mustahil buat pemain Malaysia untuk beraksi di sana meskipun terdapat beberapa kekangan bagi mendapatkan permit bekerja di negara itu.

Ini kerana mengikut peraturan Persatuan Bolasepak England (FA), mereka hanya membenarkan pemain dari negara yang berada di ranking 70 ke atas beraksi di EPL.

Dengan ranking skuad Harimau Malaya pada tangga ke-154 ketika ini sudah tentu sukar untuk Luqman memecah masuk, namun difahamkan beberapa strategi sudah dirancang Newcastle.

Antaranya, kemungkinan Luqman bakal dipinjamkan ke kelab sekitar Eropah untuk sekurang-kurangnya empat tahun sebelum boleh memohon permit pekerjaan di Britain.

Menurut ejen tempatan, Syed Qamarul Firdaus, modus operandi kebanyakan kelab EPL adalah meminjamkan pemain ke pasukan luar seperti Belgium, Belanda dan Switzerland.

"Boleh main (pemain tempatan) kat EPL cuma kena guna 'jalan jauh' sikit. Disebabkan halangan ranking, pemain Malaysia tak boleh terus memohon permit dalam tahun pertama.

"Sebaliknya kena berada di Eropah sekurang-kurang empat ke lima tahun baru boleh memohonnya. Kalau usia Luqman 18 tahun, dalam usia 22 tahun dia dah boleh main kat EPL.

"Ditambah pulak pengalaman main di kelab sekitar Eropah akan menambah keyakinannya apabila main di liga lebih besar seperti EPL dan sebagainya," kata Syed Qamarul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:00 AM