SAFAWI muncul penjaring terbanyak Harimau Malaya dengan enam gol.
SAFAWI muncul penjaring terbanyak Harimau Malaya dengan enam gol.
Firdaus Hashim


KEUTAMAAN untuk mendapatkan pemain naturalisasi sepatutnya bertumpu kepada posisi penyerang tengah yang sekian lama menjadi menjadi kelemahan utama skuad bola sepak negara.

Ini terbukti berdasarkan statistik musim lalu sama ada dalam aksi persahabatan atau Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sebahagian besar gol disumbang tonggak di posisi lain seperti pemain sayap, tengah dan pertahanan.

Pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid adalah penjaring terbanyak dengan enam gol diikuti Syafiq Ahmad (lima), Mohamadou Sumareh (empat), Shahrel Fikri (empat), Akhyar Rashid (tiga), Shahrul Saad (dua), Norshahrul Idlan Talaha (dua), Brendan Gan (satu) dan Corbin Ong (satu).

Daripada 28 gol dikumpulkan, sebanyak 65 peratus atau 17 gol daripada jumlah keseluruhan itu disumbangkan pemain bukan daripada posisi penyerang.

Malah, biarpun dua penyerang iaitu Syafiq dan Shahrel masing-masing merekodkan lima dan empat gol, ia diraih menerusi aksi mudah berdepan lawan yang dianggap lemah seperti Sri Lanka dan Timor Leste.

Justeru, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir menasihatkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Program Naturalisasinya, memberi tumpuan khusus dengan mengesan pemain penyerang untuk dinaturalisasikan sekali gus menghentikan pengambilan tonggak di bahagian lain.

"Masalah kita sebenarnya adalah penyerang. Buat apa nak ambil lagi pertahanan atau pemain tengah kerana saya yakin pemain tempatan atau pemain kacukan boleh mengisi di bahagian tengah dan pertahanan.

"Sebenarnya apa fokus FAM dengan membuka pintu naturalisasi? Adakah semata-mata mahu cukupkan 11 pemain di atas padang semuanya naturalisasi, atau nak perkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain mengikut kelemahan posisi.

"Kita kena ingat, naturalisasi ini hanya program jangka pendek, jadi biarlah pemilihan pemain naturalisasi mengikut keperluan bukannya nak letak di semua bahagian.

"Ketumpulan jentera serangan adalah masalah utama, jadi bawalah masuk penyerang dan kalau boleh biarlah muda dan mampu menyumbang bakti yang lama kepada pasukan negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi bekas pemain dan jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu yang melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe memerlukan seorang penyerang prolifik untuk merobek benteng lawan.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya dilimpahi ramai pemain naturalisasi di bahagain tengah dan sayap seperti Sumareh dan Liridon Krasniqi dan ditambah beberapa pemain kacukan seperti Brendan, Corbin dan Matthew Davies, ia menyaksikan Cheng Hoe mempunyai pilihan cukup banyak di posisi tengah dan pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 10:01 PM