TAN Cheng Hoe
TAN Cheng Hoe
Firdaus Hashim


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menolak untuk mempertaruhkan lebih ramai pemain berdarah kacukan dan naturalisasi sekiranya ia mampu meningkatkan kekuatan skuad kebangsaan.

Jelas pengendali berusia 51 tahun itu, setiap jurulatih sudah tentu memiliki skuad idaman yang diperkuatkan dengan pemain terbaik tidak kira sama ada tempatan, kacukan atau naturalisasi.

Begitupun, beliau menegaskan, keutamaannya tetap dalam membentuk skuad masa depan yang ditunjangi pemain tempatan.

“Saya rasa semua jurulatih mahukan pemain terbaik dalam pasukan,” katanya merujuk kepada laporan Arena Metro semalam mengenai bayangan 11 pemain kacukan dan naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan Harimau Malaya.

NATXO Insa (kiri) dan Sumareh.
NATXO Insa (kiri) dan Sumareh.

“Itu pasti diperlukan jurulatih tetapi untuk tempoh sekarang ini, pemain tempatan pun boleh memberi sesuatu kepada pasukan dan dalam masa sama ini adalah jangka pendek saja. Bukannya jangka panjang kerana kita masih perlukan pemain tempatan. Malah, dalam beberapa perlawanan, pemain tempatan dan pemain kacukan juga berjaya membentuk keserasian,” katanya.

Menerusi laporan akhbar ini, dilaporkan sekurang-kurangnya lima lagi pemain berdarah campuran bersedia menguatkan lagi taring pasukan terutama di posisi tengah dan pertahanan.

Ketika ini, tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Brendan Gan serta seorang tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Malah, kehadiran dua ayam tambatan ‘import’ Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi mulai tahun depan dijangka menambah lagi sengat pasukan negara.

DAVID Rowley (kiri) dan Matthew Davies.
DAVID Rowley (kiri) dan Matthew Davies.

Antara pemain yang berpotensi disenaraikan adalah pertahanan tengah PKNS FC, Nicholas Swirad dan pertahanan Port Melbourne FC di Liga Australia, Curran Ferns selain penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Samuel Somerville.

Manakala dua lagi tonggak tengah yang boleh dipanggil adalah pemain JDT yang baru pulih daripada kecederaan, Natxo Insa serta pemain Kedah, David Rowley yang memperagakan aksi menarik ketika membantu skuad Hijau Kuning menjuarai Piala FA, Julai lalu.

Beliau mengingatkan, prestasi di atas padang tetap menjadi kriteria utama meskipun pemain itu berdarah campuran.

“Sebagai jurulatih, kita kena tengok mana yang kita perlu. Kalau dia (pemain kacukan atau naturalisasi) ada minit permainan dan main dengan konsisten, kita akan ambil. Tapi kalau dia ada minit permainan tapi tak konsisten, kita kena lihat juga mungkin tak ambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:30 AM