CHENG Hoe mempunyai banyak pilihan pemain naturalisasi dan warisan untuk memperkuatkan Harimau Malaya. FOTO NSTP
CHENG Hoe mempunyai banyak pilihan pemain naturalisasi dan warisan untuk memperkuatkan Harimau Malaya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


SEKURANG-kurangnya seramai 29 pemain berdarah kacukan dan tonggak naturalisasi pernah mencuba nasib menyarung jersi skuad Harimau Malaya serta diberi taraf kerakyatan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Daripada jumlah itu, kira-kira 21 pemain berjaya mengetuk pintu pasukan kebangsaan dan beberapa kelab Liga M dengan baki lapan lagi sama ada sedang berusaha, menangguhkan seketika hasrat atau ada yang sudah bersara.

Dalam tempoh hanya lapan tahun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sebelum ini tidak membenarkan pemain naturalisasi menyertai skuad kebangsaan, kini menggalakkan kepulangan pemain yang mempunyai darah campuran Malaysia.

Di bawah peratuan FIFA, pemain perlu mempunyai pertalian darah dengan negara yang mahu diwakilinya, sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara itu.

Manakala bagi pemain berstatus naturalisasi pula, FIFA menggariskan seseorang pemain yang tidak memiliki pertalian darah perlu beraksi selama lima tahun dalam liga sama bagi membolehkan mereka mewakili negara terbabit.

Sehingga kini, 21 pemain kelahiran luar negara diberikan kerakyatan tetapi kebanyakan mereka bermain di posisi pertahanan, tengah dan sayap dengan hanya Julian Bechler dan Sam Somerville beraksi selaku penjaga gol sementara satu satunya penyerang dalam senarai itu adalah Darren Lok.

Tonggak tengah negara dan Selangor, Brendan Gan adalah pemain warisan pertama yang dipanggil mewakili Malaysia ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dan sehingga kini dia antara tonggak penting dalam kesebelasan utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Ia kemudian disusuli Matthew Davies (29 caps), Darren Lok (9), Kiko Insa (6), Khair Jones (4), Natxo Insa (1), Corbin Ong (10), Junior Eldstal (9) dan Brendan (15) yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya.

Kehadiran tonggak naturalisasi pertama negara kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh pada 2018 berjaya menambah kekuatan pasukan khususnya di bahagian sayap kanan dengan seorang lagi iaitu Liridon Krasniqi bakal menyertai kem negara selepas dia menerima Kad Pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara pada Februari lalu.

Bagaimanapun, tuah masih belum menyebelahi calon penyerang dari Brazil, Guilherme de Paula yang terpaksa menunggu lebih lama ekoran masalah dokumentasi biarpun sudah menetap di negara ini selama lima tahun dengan beraksi bersama beberapa pasukan seperti Selangor (2015), PDRM (2016), Kuala Lumpur (2017-2019) dan Perak (2020).

Nasib malang juga dialami arkitek tengah Terengganu FC, Lee Tuck yang pernah mendakwa mempunyai pertalian darah dengan negara ini dan berhasrat untuk membantu Harimau Malaya.

Namun sehingga kini, pemain kelahiran England itu masih gagal membuktikan status hubungannya dan salah satu jalan untuk dia merealisasikan hasratnya itu adalah dengan menunggu dua tahun lagi sebelum boleh dinaturalisasikan.

Pemain warisan seperti Curran Ferns, Stuart Wark, Daniel Ting, Nick Swirad, Shazalee Ramlee, Kevin Gunter, Armin Maier dan Quentin Cheng adalah baki pemain yang beraksi dalam Liga-M dan bersedia untuk dipanggil oleh skuad negara pada bila-bila masa.

Malah, Cheng Hoe dilihat memiliki empat lagi calon Marcel Kalonda, Samuel Bone, Harry Edge dan Dion Cools di posisi pertahanan dengan Kalonda sudah menyerahkan dokumen rasmi kepada FAM sementara yang lain memilih untuk menunggu.

Daripada nama-nama itu, hanya Junior Eldstal yang sudah mengumumkan persaraan awal tahun ini selepas beraksi bersama Sarawak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2013.

Difahamkan, keputusan berkenaan diambil susulan siri kecederaan yang sering menghantui dirinya.

Walaupun Cheng Hoe tidak akan membentuk pasukan yang majoritinya dibarisi pemain berdarah campuran, beliau masih boleh memanggil seberapa ramai yang dirasakan perlu bagi memperkuat pasukan terutama bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 11:06 PM