AKSI Djokovic meraikan kemenangan ke atas Federer  di Wimbledon tahun lalu. FOTO AFP
AKSI Djokovic meraikan kemenangan ke atas Federer di Wimbledon tahun lalu. FOTO AFP
AFP

NOVAK Djokovic berkata, dia yakin menamatkan karier sebagai pemenang terbanyak Grand Slam sepanjang zaman dan menjadi pemain paling lama menduduki takhta nombor satu dunia. Bintang Serbia itu menjuarai 17 gelaran utama berbanding Roger Federer yang meraih 20 gelaran dan kurang dua di belakang Rafael Nadal yang mempunyai 19 koleksi.

Sebelum musim 2020 terhenti susulan pandemik koronavirus, Djokovic muncul juara Terbuka Australia kelapan dan mencatat 18 kemenangan berturut-turut.

"Saya rasa ada banyak lagi boleh dilakukan dalam sukan ini. Saya yakin mampu menjuarai lebih banyak Slam dan mengatasi rekod minggu paling lama untuk pemain nombor satu. Kedua-duanya sudah pasti menjadi sasaran saya," kata Djokovic dalam rancangan televisyen 'In Depth with Graham Bensinger' semalam.

Djokovic menghuni ranking nombor satu selama 282 minggu sehingga kini. Federer masih mendahului dengan 310 diikuti Pete Sampras yang telah pun bersara dengan 286.

Bagaimanapun, masa tampak menyebelahi Djokovic yang akan merai hari jadi ke-33 pada 22 Mei ini.

Federer bakal berusia 39 tahun pada Ogos dan Nadal 34 tahun bulan depan.

Djokovic pula yakin masih mampu beraksi pada usia 40 tahun.

"Saya tak yakin dengan had masa. Sudah tentu saya mahu terus beraksi untuk tempoh lebih lama," katanya.

"Tetapi saya sedar jumlah kejohanan akan berkurangan dan saya tidak mungkin beraksi pada tahap tertinggi dengan banyak kejohanan dan pergi ke merata tempat untuk tempoh lama.

"Saya mungkin beraksi pada usia 40 tahun tetapi mungkin hanya menyertai kejohanan utama dan kejohanan yang paling bermakna buat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 10:32 AM