PENYOKONG Djokovic menyaksikan video detik-detik penting sepanjang karier bintang tenis Serbia itu di Belgrade. FOTO AFP
PENYOKONG Djokovic menyaksikan video detik-detik penting sepanjang karier bintang tenis Serbia itu di Belgrade. FOTO AFP
Agensi

London: Novak Djokovic berkata dia perlu berkorban 'darah, peluh dan tangisan' untuk memecahkan rekod 310 minggu selaku pemain nombor satu dunia milik Roger Federer.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu melakar rekod baru 311 minggu semalam untuk muncul pemain paling lama menduduki ranking pertama dunia sepanjang 48 tahun sejarah ranking ATP.

"Keluarga saya memberikan sokongan sejak hari pertama lagi," katanya kepada BBC.

Djokovic memenangi gelaran Grand Slam ke-18 dan juga yang kesembilan di Terbuka Australia di Melbourne bulan lalu.

Djokovic memberi penghormatan kepada Federer yang akan beraksi pada Terbuka Qatar minggu ini, kejohanan pertamanya sejak Terbuka Australia 2020.

"Apa yang Roger lakukan pada usianya itu sangat memberi inspirasi kepada saya dan pemain tenis lain. Sangat gembira dapat melihat dia beraksi semula," kata Djokovic.

Sensasi Serbia itu hanya kurang dua gelaran Grand Slam untuk menyertai Federer dan Rafael Nadal memenangi 20 gelaran berprestij itu.

"Ketika saya beraksi secara profesional pada usia 15 tahun, saya berdepan dua cabaran utama, iaitu untuk mengatasi Roger dan Rafa.

"Pada 2008, ketika memenangi Grand Slam kali pertama, saya mula berasakan bahawa inilah masa saya.

"Saya akan bersaing dengan dua pemain hebat itu. Saya mempunyai kemampuan untuk memenangi kejohanan Grand Slam.

"Tetapi kemudian sepanjang tiga tahun, saya tidak memenangi sebarang kejuaraan dan tewas hampir kebanyakan perlawanan utama ketika bertemu mereka berdua.

"Mereka benar-benar menjadikan siapa diri saya sekarang," kata Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 12:00 PM