BARISAN pemain FELDA United bakal dikenakan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus. FOTO FB FELDA United
BARISAN pemain FELDA United bakal dikenakan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus. FOTO FB FELDA United
Asrol Awang


KAPTEN FELDA United FC, Jasazrin Jamaluddin mengakui cadangan pemotongan gaji sehingga 20 peratus yang bakal dilaksanakan kelab sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipersetujui di kalangan pemain.

Sebaliknya, pemain tengah itu yang mewakili rakan lain bersetuju jika potongan gaji tidak melebihi 10 peratus sahaja kerana cadangan awal dianggap terlalu tinggi.

Katanya, ini kerana gaji yang diterima pemain The Fighters musim ini bukannya tinggi jika dibandingkan dengan musim lalu.

“Selaku kapten, pandangan rakan lain juga perlu diambil kira kerana gaji yang diterima musim ini tidak tinggi.

“Kami tiada masalah dan bersetuju potongan antara lima hingga 10 peratus tetapi ia bergantung kepada tangga gaji.

“Sebaiknya, gaji RM10,000 ke atas hanya dipotong 10 peratus manakala bawah RM9,000 pula sekadar lima peratus sahaja.

“Kami faham dengan situasi sekarang berikutan penularan wabak covid-19 dan penangguhan Liga Malaysia (Liga M), potongan yang ingin dilakukan perlu juga mengambil pandangan semua pemain,” katanya.

Semalam, Kelab Bolasepak FELDA United (FUFC) dilaporkan bakal melaksanakan pemotongan gaji lima hingga 20 peratus buat barisan kejurulatihan dan pemain kelab itu sepanjang tempoh PKP.

Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman berkata, pemotongan gaji itu akan bermula bulan ini dan sekiranya PKP berakhir, bayaran gaji bulan berikutnya akan dibayar mengikut kontrak.

“Pada 14 April lalu, kami sudah memberikan surat kepada semua barisan kejurulatihan dan pemain Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan akademi untuk memaklumkan potongan gaji antara lima hingga 20 peratus.

“Pemotongan gaji hanya untuk tempoh PKP sahaja dan setakat ini secara tidak rasmi semua bersetuju dengan pemotongan yang dicadangkan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan FUFC.

“Antara faktor pemotongan itu dilaksanakan ialah disebabkan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super dan pada masa sama ia dapat menampung sumber kewangan kelab,” kata Afizal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:22 PM