BARISAN pemain Kuching FA bersetuju dipotong gaji mereka sebanyak lima peratus. FOTO FB Kuching FA
BARISAN pemain Kuching FA bersetuju dipotong gaji mereka sebanyak lima peratus. FOTO FB Kuching FA
Firdaus Hashim


SATU lagi pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang beraksi dalam saingan Liga Perdana, Kuching FA bersetuju dengan kaedah pemotongan gaji susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Difahamkan, kelab berkenaan berjaya mencapai kata sepakat bersama pemain untuk memotong sebanyak lima peratus bagi menyelesaikan masalah kewangan pasukan ekoran wabak itu yang menyaksikan Liga-M turut ditangguhkan.

Langkah berkenaan sekali gus mengikut jejak dua lagi pasukan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan UKM FC yang terlebih dulu memotong gaji pemain mereka.

“Saya berharap pasukan lain dapat bergerak ke arah itu di mana bukan sahaja pasukan dari Malaysia sebaliknya seluruh kelab di dunia kini sedang terpalit mengalami masalah terjejas kewangan gara-gara pandemik ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyeru kepada kesemua pegawai dan pemain pasukan dapat menerima penangguhan liga ini secara terbuka.

Lebih tepat, beliau menggesa kesemua pasukan terus mengadakan perbincangan bersama pemain dan pegawai berhubung status kontrak ketika saingan liga terpaksa ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Saya menyeru pegawai dan pemain pasukan agar menerima penangguhan liga ini secara terbuka dan terus mengadakan perbincangan dengan pemain dan pegawai berhubung status kontrak.

“Pujian harus diberikan kepada UKM FC yang sudah mengadakan perbincangan bersama pegawai dan pemain manakala pasukan JDT pula bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini,” katanya.

Ujar Ghani lagi, penaja utama iaitu Telekom Malaysia (TM), CIMB dan Shopee sudah memberikan komitmen untuk terus kekal bersama dan memberikan sokongan penuh kepada MFL ketika mengharungi detik sukar pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 5:23 PM