PERTEMUAN antara 20 kelab EPL itu juga bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan liga musim ini sehingga keadaan betul-betul selamat. FOTO AGENSI
PERTEMUAN antara 20 kelab EPL itu juga bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan liga musim ini sehingga keadaan betul-betul selamat. FOTO AGENSI
AFP

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) akan meminta pemain supaya mengambil kombinasi pemotongan dan penangguhan 30 peratus gaji berikutan krisis kewangan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kelab EPL sebulat suara bersetuju untuk berunding dengan pemain berkenaan kombinasi pemotongan dan penangguhan gaji sebanyak 30 peratus,” jelas EPL dalam satu kenyataan.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) akan bertemu badan liga dan kelab untuk membincangkan cadangan berkenaan esok.

Pertemuan antara 20 kelab EPL itu juga bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan liga musim ini sehingga keadaan betul-betul selamat.

Semua kelab sangat terdesak untuk menghabiskan saingan bagi mengelak membayar semula hak penyiaran bernilai 760 juta pound (RM4 bilion) jika gagal untuk meneruskan saingan berdasarkan kontrak televisyen yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, idea kreatif sebelum ini seperti menghabiskan saingan tanpa penonton dan pemain dikuarantin seperti kem Piala Dunia, semua kelab harus mengikut nasihat kerajaan mengenai cara selamat untuk menyambung semula saingan.

“Segala aspek untuk memulakan semula saingan haruslah mendapat sokongan sepenuhya dari pihak kerajaan dan mengikut segala nasihat berkaitan kesihatan,” jelas kenyataan itu.

Walaupun berdepan masalah kewangan, kelab EPL bersetuju untuk menyumbangkan sebanyak 125 juta pound (RM666 juta) kepada Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dan Liga Kebangsaan untuk membantu pasukan liga bawahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 11:59 PM