SKUAD bimbingan Zainal Abidin dipotong tiga mata. FOTO Owee Ah Chun
SKUAD bimbingan Zainal Abidin dipotong tiga mata. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Melaka United (MU) menerima tamparan hebat apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan pemotongan tiga mata dikenakan ke atas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang memulakan saingan Liga Super dengan langkah cemerlang.

Keputusan pemotongan mata itu diputuskan pada mesyuarat Pelesenan Kelab FAM (FIB) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara 'teleconferencing' bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati MU gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Ia menyaksikan, kedudukan skuad Hang Tuah yang berada di kedudukan ketiga liga dengan enam mata akan berubah susulan keputusan itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, empat kes dibincangkan pada mesyuarat itu yang berlangsung hari ini di mana ia turut membabitkan pasukan Melaka, PDRM, Kelantan dan Sarawak.

“Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan berkenaan pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

“Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan Melaka seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu ia perlu dijelaskan pada penghujung Februari 2020.

“Oleh itu, Melaka didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini,” katanya.

Jelas Stuart lagi, pengurusan Melaka juga tidak boleh memberi alasan dengan mengaitkan isu perubahan politik kerajaan serta penularan Covid-19 untuk gagal melunaskan tunggakan gaji.

“Kegagalan Melaka melunaskan baki yang masih tertunggak itu juga tidak boleh dikaitkan alasannya dengan isu pertukaran kerajaan di negeri berkenaan atau pun Perintah Kawalan Pergerakan kerana Covid-19 ketika ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak itu adalah sebelum terjadinya kedua-dua perkara berkenaan.

“FAM akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Super iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga mata berkenaan.

“FAM juga memberikan tempoh kira-kira enam minggu iaitu sehingga 30 April kepada pasukan Melaka untuk menyelesaikan juga baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai. Jika gagal, mereka berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata,” katanya.

Sementara itu, bagi pasukan PDRM yang sebelum ini dipotong tiga mata pada 3 Februari lalu, FAM berterima kasih kepada pasukan ini kerana mula menunjukkan perubahan positif dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka berbanding sebelum ini.

Bagi Kelantan pula, FAM masih memantau pembayaran yang dibuat mereka menerusi jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

“Bagaimanapun ingin dimaklumkan bahawa kes tunggakan gaji membabitkan bekas pemain Kelantan, Amirizdwan Taj Tajudin tidak termasuk dalam ketetapan ini kerana kes berkenaan baru saja dibuat keputusannya pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, 5 Mac lalu dan hanya akan dibawa untuk penilaian pasukan bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi tahun depan, itu pun jika pembayarannya belum diselesaikan,” katanya.

Satu lagi pasukan iaitu Sarawak, tiada lagi tunggakan hutang dengan pemain dan pegawai apabila kes-kes tertunggak sudah pun diselesaikan sepenuhnya.

Namun Sarawak masih mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sama seperti pasukan PDRM dan Kelantan yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi pasukan-pasukan ini, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO itu perlu diselesaikan pembayaran atau pelan penyelesaiannya selewat-lewatnya pada 30 April ini.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 9:58 PM