Pemain Melaka United menjalani pemeriksaan suhu badan dan ujian Covid-19. FOTO Musa
Pemain Melaka United menjalani pemeriksaan suhu badan dan ujian Covid-19. FOTO Musa
Syazwan Msar


KETIKA berbaki 10 hari lagi untuk Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu berjumlah hampir RM800,000 akhir bulan ini namun sebaliknya berlaku apabila dikhabarkan mereka mendapat talian hayat ketiga dengan diberikan tempoh sehingga Ogos depan melangsaikan hutang itu.

Ini bermakna, Musa sekali lagi terselamat daripada dikenakan pemotongan enam mata akibat kegagalan membayar hutang berkenaan yang sepatutnya diselesaikan 30 April lalu.

Menurut sumber rapat Musa berkata, persatuan bola sepak negeri itu ketika ini agak 'bergelut' untuk membuat pembayaran hutang terbabit berikutan peralihan pucuk pimpinan.

Beliau berkata, bayaran tunggakan terbabit sememangnya sudah dibincangkan namun terdapat beberapa masalah lain seterusnya perlu mengambil tempoh kira-kira sebulan lagi bagi membuat pembayaran.

"Perkara terbabit sudah dibincangkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi tempoh sebulan lagi kepada Musa bagi menyelesaikan bayaran itu.

"Permohonan itu berikutan ketika ini Musa perlu menyelesaikan beberapa perkara termasuk berkaitan pembayaran gaji pemain selain perbelanjaan pemeriksaan kesihatan sebelum dapat mulakan sesi latihan.

"Oleh itu, perkara terbabit tidak dapat dielakkan dan Musa berusaha menyelesaikan bayaran tunggakan gaji itu dengan segera," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, ketika Melaka di ambang pemotongan enam mata akibat kegagalan membayar tunggakan gaji 2018 sebelum 30 April lalu, pasukan terbabit akhirnya boleh tersenyum sementara apabila diberikan 'talian hayat' dengan tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Talian hayat yang diberikan menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) itu jelas sekali memberi kelegaan kepada pasukan berkenaan yang sebelum ini dikenakan pemotongan tiga mata akibat kegagalan menjelas hutang 2018.

Pasukan terbabit juga sebelum ini sudah dikenakan hukuman apabila FAM memutuskan pemotongan tiga mata ke atas skuad Hang Tuah serta merta.

Keputusan pemotongan mata itu diputuskan FIB yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara sidang video bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati Melaka gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Ia sekali gus menyaksikan kedudukan MU yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan enam mata akan berubah susulan keputusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 6:45 PM