WONG CHOONG HANN
WONG CHOONG HANN
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Masih banyak 'kerja rumah’ perlu dilakukan di sebalik keputusan positif dihasilkan pemain badminton negara pada Masters Malaysia yang berakhir semalam, tetapi ia dianggap permulaan yang baik bagi musim 2019.

Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berharap pencapaian itu tidak terhenti begitu sahaja dengan dia mahu pemain negara menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan.

"Secara keseluruhan, pemain yang beraksi dalam kejohanan kali ini menunjukkan prestasi yang baik sekali gus membuktikan potensi yang mereka miliki.

"Walaupun ini satu pencapaian yang baik untuk pasukan tetapi masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh kami semua, iaitu pemain dan jurulatih. Saya harap pemain boleh terus kekal fokus dalam latihan.

"Saya percaya keputusan yang baik perlu diraih secara konsisten," kata Choong Hann.

Barisan pemain negara umpama baru terjaga daripada tidur yang lena apabila menyaksikan lapan wakil Malaysia layak sehingga suku akhir, enam (separuh akhir) dan satu (final).

Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berjaya mara sehingga ke final sebelum tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Sebelum itu, Ee Yi-Yew Sin mengesahkan tempat ke final dengan menewaskan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir.

Prestasi Ee Yi-Yew Sin dan Aaron-Wooi Yik mencuri perhatian Choong Hann apabila menyifatkan mereka berjaya menunjukkan keberanian untuk berdepan dengan pasangan utama dunia.

"Mereka berjaya melakar kejutan (menewaskan pasangan utama dunia), tetapi saya tidak menilai mereka dengan perkara itu saja.

“Mereka bermain dengan permainan yang betul, agresif dan berani untuk mencabar lawan tanpa mengira status serta kekuatan mereka. Saya harap mereka boleh terus kekalkan prestasi seperti itu," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:53 PM