EE Yi dan Yew Sin gagal lepasi pusingan pertama Terbuka Denmark. -Foto fail
EE Yi dan Yew Sin gagal lepasi pusingan pertama Terbuka Denmark. -Foto fail
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Dua beregu negara tersingkir pada pusingan pertama badminton Terbuka Denmark selepas tewas di tangan lawan masing-masing, sebentar tadi.

Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-19, 11-21, 16-21 dalam tempoh 52 minit.

Ia pasti satu tamparan buat Ee Yi-Yew Sin yang hilang status sebagai beregu kedua terbaik negara. Kedudukan mereka dipintas pasangan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdasarkan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia, minggu lalu.

Ketika ini Aaron-Wooi Yik yang mula mencuri tumpuan ketika mara hingga suku akhir Kejohanan Dunia, Julai lalu menghuni ranking ke-23 dunia manakala Ee Yi-Yew Sin di tangga ke-25.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong yang menarik diri daripada Terbuka Denmark kekal sebagai pasangan nombor satu negara di kedudukan ke-12 dunia.

Sementara itu, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istirani-Rizki Amelia Pradipta 13-21, 11-21 dalam tempoh 29 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 7:35 PM