YEW Sin dan Ee Yi berdepan cabran getir. -Foto fail
YEW Sin dan Ee Yi berdepan cabran getir. -Foto fail
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bakal berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu pasangan nombor dua dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen pada aksi pusingan kedua Masters Indonesia, esok.

Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin yang muncul naib juara Masters Malaysia, Ahad lalu mara selepas menundukkan pasangan muda China, He Jiting-Tan Qiang 21-17, 21-8 dalam aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.

Junhui-Yuchen yang juga juara dunia 2018 pula mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menyingkirkan gandingan berpengalaman Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol 21-16, 21-15.

Ee Yi-Yew Sin yang menghuni ranking ke-23 dunia tewas semua dalam empat pertemuan dengan Junhui-Yuchen sebelum ini dengan kali terakhir mereka bertemu pada saingan Terbuka China 2018.

Bagaimanapun, Ee Yi-Yew Sin enggan terlalu memikirkan rekod pertemuan yang tidak memihak kepada mereka itu sebaliknya mahu kekal tenang menjelang pertembungan esok.

“Kami mahu pastikan hati kami kekal tenang, kami akan bincang dengan jurulatih mengenai strategi permainan kami untuk menghadapi perlawanan esok.

“Tiada apa perlu kami bimbangkan. Semuanya masih untuk kami, tidak kira apa jua keputusan perlawanan esok kami tidak akan rugi apa-apa,” kata Ee Yi ketika dihubungi.

Hanya tinggal pasangan nombor tiga negara itu yang membawa cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki selepas dua lagi wakil, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di pusingan pertama.

V Shem-Wee Kiong yang kini bergerak secara profesional tewas di tangan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 12-21, 16-21 manakala Aaron-Wooi Yik yang melangkah sehingga separuh akhir Masters Malaysia tunduk kepada bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 13-21, 13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:19 PM