PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky. FOTO ARKIB NSTP
PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina mampu menjadi medan terbaik buat skuad negara membuat persiapan sebelum menghadapi Piala Thomas di Thailand bermula 8 hingga 15 Mei.

Meletakkan sasaran untuk menjadi finalis di Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, BAC adalah peluang terbaik untuk menilai tahap prestasi pemain terutama dengan kehadiran pemain utama Asia.

Beliau berkata, cabaran Malaysia di BAC dalam acara beregu lelaki akan digalas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

"Pada mulanya, BAC yang diadakan pada 26 April hingga 1 Mei tak ada dalam perancangan kita, tapi selepas pulang dari Seluruh England barulah kita tahu BAC akan diadakan.

"Jadi baguslah untuk kita membuat persediaan sebelum Piala Thomas sebab ia kejohanan bertaraf Super 1000 dan semua pasukan hantar pemain terbaik mereka," kata Rexy yang sebelum ini merancang untuk mengadakan kem latihan pusat bermula 24 April hingga 1 Mei.

Rexy menegaskan perancangan rapi sudah disusun buat pemainnya bagi memastikan mereka bersedia untuk menghadapi Piala Thomas.

Pada saingan di BAC, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan membuka tirai menentang beregu China, He Ji Ting-Zhou Hou Dong manakala Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pasangan Filipina, Solomon Jr Padiz-Julius Villabrille.

Ee Yi-Yew Sin pula diundi berdepan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Yeung Ming Nok sementara Kai Wun-Wei Chong menentang Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn dari Thailand.

Bagaimanapun, hanya Aaron-Wooi Yik, Izzuddin-Sze Fei dan Ee Yi-Yew Sin yang disenaraikan dalam saingan Piala Thomas manakala Kai Wun-Wei Chong menjadi sandaran skuad badminton negara untuk meraih pingat emas pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 5:28 PM