AARON dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis. -Foto fail
AARON dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis. -Foto fail
Oleh Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin dahagakan kemenangan selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis, awal pagi tadi.

Pasangan ranking ke-23 dunia itu mara selepas menewaskan Phillip Chew-Ryan Chew dari Amerika Syarikat 27-25, 21-17 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Paris.

Aaron-Wooi Yik yang dianggap permata baharu skuad badminton negara mahu menjadikan pasangan China, Han Chengkai-Zhou Haodong 'mangsa' mereka seterusnya dalam usaha memburu slot ke suku akhir, esok.

"Kami tidak pernah bertemu mereka sebelum ini, jadi ia akan menjadi cabaran untuk kami. Namun, kami akan buat persiapan terbaik untuk perlawanan itu.

"Sebaik tiba di sini, kami tidak fikir banyak sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan. Kami mahu melangkah sejauh yang mungkin memandangkan ini penampilan pertama kami dalam Terbuka Perancis," kata Aaron yang mana dia dan Wooi Yik mula mencuri tumpuan selepas kejayaan mara ke suku akhir Kejohanan Dunia, Julai lalu.

Sementara itu, nasib berbeza dialami satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan.

Walaupun menang 21-16 di set pertama namun Ee Yi-Yew Sin gagal mengekalkan momentum apabila tewas dua set berikutnya 17-21, 16-21.

Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 15-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:37 PM