BEREGU nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo (kiri) dan Marcus Fernaldi Gideon benam wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-15, 21-16 di pentas akhir. FOTO AFP
BEREGU nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo (kiri) dan Marcus Fernaldi Gideon benam wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-15, 21-16 di pentas akhir. FOTO AFP
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman mengakui Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo adalah gandingan paling istimewa ketika ini dan banyak pasangan lain sedang mencuba mencapai ke tahap yang sama.

Petang tadi, beregu badminton nombor satu dunia dari Indonesia itu mempamerkan penguasaan dengan menjuarai Malaysia Masters apabila mengalahkan wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-15, 21-16 di pentas akhir.

Walaupun mengakui gembira dengan prestasi keseluruhan dipamerkan pemainnya, Paulus menegaskan, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Marcus-Kevin adalah gandingan istimewa, sukar menandingi mereka. Bagi kebanyakkan beregu dunia yang lain, tahap mereka adalah sama dan terpaksa berdepan dengan beregu hebat ini.

"Mereka bijak di gelanggang, pukulan serta taktik mereka di tahap terbaik,” kata jurulatih dari Indonesia ini.

"Saya berpuas hati dengan prestasi Yew Sin-Ee Yi ketika berdepan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, namun saya ingin tegaskan, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk terus meningkat.

Bagaimanapun, Paulus melaungkan keyakinan, tidak mustahil beregu negara mampu mencapai tahap sama seperti Marcus-Kevin, jika mereka berusaha keras mempamerkan potensi sebenar.

"Secara jujurnya, adalah pemain yang memang dilahirkan dengan bakat istimewa dan ia sukar difahami. Namun, itu bukan alasan untuk kita berputus asa mencuba ke tahap maksimum.

“Saya boleh terus melatih mereka, tetapi ia mengambil masa untuk menggilap bakat yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:22 PM