AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas di separuh akhir Terbuka Denmark. FOTO BADMINTON PHOTO
AARON (kiri) dan Wooi Yik tewas di separuh akhir Terbuka Denmark. FOTO BADMINTON PHOTO
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa melupakan impian bergelar juara Terbuka Denmark selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di separuh akhir, hari ini.

Perlawanan di Jyske Bank Arena, Odense itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik diasak hebat seawal set pertama oleh gandingan dengan julukan 'The Minions' itu sebelum tewas 17-21.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik jelas tidak mahu status mereka selaku juara dunia tercalar apabila bangkit dengan kemenangan 21-13 di set kedua, sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Beregu negara yang kini menghuni tangga keempat dunia itu pada awalnya berjaya menguasai saingan di set penentuan, namun Marcus-Kevin ternyata mempunyai ramuan tersendiri ketika di hujung permainan sebelum keputusan berpihak kepada mereka dengan kemenangan 21-17.

Sepanjang 11 pertemuan sejak 2018, ini adalah kekalahan ketiga buat Aaron-Wooi Yik kepada gandingan dari Indonesia itu.

Kini, harapan terletak di bahu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turut akan bertemu wakil dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Adrianto dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 9:21 PM