PAULUS FIRMAN
PAULUS FIRMAN
Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Tidak banyak beza antara pemain badminton negara dan juga negara jiran Indonesia, menurut ketua jurulatih beregu negara Paulus Firman.

Hakikatnya, jurulatih itu yang juga berasal dari Indonesia yakin pemain Malaysia boleh berada di tahap sama dengan negara jiran itu tidak lama lagi.

Paulus yang sebelum ini membimbing pasukan kebangsaan Indonesia dan Filipina, mengakui tidak seperti negara lain, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan.

“Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak perkara daripada segi badminton. Di sini, ia bukan sekadar sukan saja, tetapi juga adalah peluang pekerjaan. Anda tidak boleh katakan perkara yang sama di negara lain seperti Filipina,” kata Paulus apabila ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

“Buat masa sekarang, Indonesia mempunyai lima beregu dalam 20 ranking terbaik dunia, sementara kita mempunyai tiga beregu dalam 25 terbaik.

“Anda mesti faham, yang pemain Indonesia muncul bukanlah secara tiba-tiba. Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) membuat pelaburan terhadap pemain ini sejak empat tahun lalu. Beri pemain kita sedikit masa, mereka akan berada di sana,” kata Paulus, yang kembali ke Malaysia buat kali kedua selepas membimbing skuad buat jangka masa pendek pada 2013.

Ditanya sama ada pemain Indonesia mempunyai sikap lebih baik dalam pendekatan permainan, Paulus berkata: Tidak juga, sudah tentu sebagai jurulatih, ia adalah tanggungjawab kami membimbing pemain dan untuk memastikan mereka berdisiplin.

“Setakat ini, saya tidak berdepan sebarang isu. Hanya berikanlah sedikit masa kepada pemain ini.”

Paulus mengulas demikian selepas pasangan ketiga negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense dengan kekalahan 21-19, 11-21, 21-16 kepada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 9:07 PM