ONG Yew Sin dan Teo Ee Yi selepas menewaskan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik  pada perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2019 di Bukit Jalil. FOTO Luqman Hakim Zubir
ONG Yew Sin dan Teo Ee Yi selepas menewaskan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2019 di Bukit Jalil. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menggalas tanggungjawab besar apabila menjadi wakil tunggal negara yang akan beraksi pada pentas akhir badminton Masters Malaysia, esok.

Pasangan nombor tiga negara itu mara ke akhir selepas menewaskan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-6, 18-21, 21-19 dalam aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, mereka berdepan tugas sukar untuk memastikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih satu gelaran juara apabila perlu melepasi halangan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Marcus-Kevin melangkah ke pentas akhir selepas menumbangkan pasangan profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-18, 24-22.

Walaupun mengakui bukan mudah berdepan Marcus-Kevin apatah lagi mereka tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini, namun Ee Yi-Yew Sin menegaskan peluang untuk menang tetap ada.

“Saya rasa kita kena bangkit dan bermain lebih baik daripada perlawanan hari ini untuk berdepan Marcus-Kevin. Mereka pasangan nombor satu dunia, berpengalaman dan lebih berani.

“Namun, itu tidak semestinya akan membuatkan kami kalah. Peluang masih 50-50 dan kami berjanji akan berikan aksi terbaik kami,” kata Ee Yi ketika ditemui selepas tamat perlawanan, hari ini.

Sementara itu, langkah cemerlang pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pilihan keenam kejohanan dari Thailand, Ratchanok Intanon.

Jin Wei terpaksa akur apabila tewas 16-21, 16-21 dalam tempoh 36 minit.

Juara remaja dunia dua kali itu mengakui jurang antara dia dengan Ratchanok masih jauh dan perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahannya.

“Kekalahan ini membolehkan saya mengetahui di mana tahap sebenarnya saya dengan Ratchanok. Saya agak kecewa kerana gagal bermain dengan corak permainan sendiri.

“Saya perlu terus bekerja keras terutama bagi menguatkan mental dan fizikal,” kata Jin Wei yang akan berlepas ke Jakarta bagi beraksi dalam saingan Masters Indonesia yang bermula Selasa ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 7:54 PM