YEW Sin dan Ee Yi mara ke suku akhir  Terbuka Indonesia.
YEW Sin dan Ee Yi mara ke suku akhir Terbuka Indonesia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berpeluang melunaskan dendam ke atas pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo apabila mereka dijadual membuat perhitungan dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Bali, esok.

Mereka sebelum itu mara ke saingan berkenaan selepas menewaskan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14, 21-17 di pusingan kedua, hari ini manakala Marcus-Kevin mengatasi Choi Solgyu-Kim Wonho dari Korea Selatan 12-21, 21-19, 21-18.

Minggu lalu, Yew Sin-Ee Yi yang berada di kedudukan ke-12 dunia tewas di tangan Marcus-Kevin ketika suku akhir Masters Indonesia.

Kekalahan di Masters Indonesia menyaksikan pasangan negara itu tewas semua enam perlawanan dengan jaguh Indonesia berkenaan.

Sementara itu, saingan beregu wanita menyaksikan tiga wakil negara, Pearly Tan-M Thinaah, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sin gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tunduk kepada wakil tuan rumah, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-14, 20-22, 17-21.

"Keputusan hari ini, memang sangat mengecewakan kerana kami sepatutnya memang perlawanan ini. Namun, ini adalah pengajaran buat kami. Dalam perlawanan ini, kami boleh nampak tahap kecergasan dan fokus dalam gelanggang belum sampai standard yang tinggi. Kami belum matang dalam permainan lagi dan masih banyak yang kami perlu perbaiki," kata Pearly.

Meng Yean-Cheng Wen pula akur dengan kekalahan di tangan pilihan kelima dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 14-21, 15-21 manakala Vivian-Chiew Sin tewas kepada pilihan ketga dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 26-24, 12-21, 11-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:20 PM