EE Yi-Yew Sin kandas di separuh akhir Masters Indonesia. FOTO Badminton Photo
EE Yi-Yew Sin kandas di separuh akhir Masters Indonesia. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak akan mengalah dan akan menebus kekecewaan di Masters Indonesia semalam pada Terbuka Indonesia yang akan bermula minggu depan.

Beregu negara itu tewas di separuh akhir kepada pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-18, 17-21, 11-21.

Bagaimanapun Ee Yi menegaskan insiden yang berlaku ketika perlawanan separuh akhir menentang beregu tuan rumah itu bukan atas kesalahan mereka.

"Apa yang saya nak cakap 'hawk-eye' bukan kami yang kawal.

"Kami sudah berikan aksi terbaik kami. Tapi kami menamatkan saingan di Masters Indonesia di separuh akhir.

"Tapi tak mengapa kami akan terus fokus dan bersedia untuk perlawanan minggu depan," katanya.

Kemenangan Marcus-Kevin semalam bagaimanapun diwarnai insiden hawkeye.

Marcus-Kevin hampir tersingkir dari Indonesia Masters 2021-2022 kerana kesilapan hawkeye.

Ketika beregu negara mendahului 20-18 di set pertama Yew Sin-Ee Yi meminta cabaran apabila pengadil memutuskan servisnya gagal memasuki kawasan Marcus-Kevin.

Pengadil memutuskan bulu tangkis itu memasuki kawasan beregu Indonesia biarpun dalam siaran ulangan jelas menunjukkan servis yang dilakukan pemain negara tidak melepasi garisan.

Perseorangan lelaki nombor tiga dari Denmark, Anders Antonsen, turut melahirkan rasa terkejutnya dan tertanya-tanya mengapa hawkeye boleh melakukan kesilapan biarpun siaran ulangan menunjukkan bulu tangkis tidak melepasi garisan ketika servis pertama dilakukan.

Sementara itu pemain Perancis Christo Popov di akaun Instagramnya, @popov_christo berkata ia bukan kali pertama hawkeye melakukan kesilapan.

Hawkeye badminton adalah teknologi yang mengukur posisi jatuhnya bulu tangkis secara visual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:12 PM