BAKRI Ibni. FOTO arkib NSTP
BAKRI Ibni. FOTO arkib NSTP
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mengambil pemain asing untuk mengisi posisi yang lebih kritikal iaitu bahagian pertahanan tengah dan penyerang skuad Harimau Malaya.

Beliau yang menyokong penuh langkah badan induk itu untuk merekrut pemain naturalisasi bagi menyarung jersi kebangsaan berkata, dua posisi itu dilihat perlu dimantapkan berbanding bahagian tengah.

"Dunia sudah berubah, kalau kita tidak ikut (ambil pemain naturalisasi), kita akan ketinggalan. Kalau kita lihat, Portugal ramai pemain Brazil, Perancis juga berjaya di Piala Dunia dengan kehadiran beberapa pemain luar.

"Kalau kita lihat persembahan pemain naturalisasi (Mohamadou) Sumareh juga agak bagus di Piala AFF, walaupun dia tidak menjaringkan gol tapi gerakannya berjaya menghasilkan peluang dan gol. Dia juga profesional dan bersemangat bermain untuk Malaysia.

"Tapi lebih baik agar FAM mencari pemain naturalisasi di posisi penyerang dan pertahanan tengah. Kita tidak memiliki penyerang yang betul-betul prolifik manakala pertahanan tengah kita cuma harapkan Shahrul Saad yang lebih konsisten," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Isu pemain naturalisasi kembali mendapat perhatian apabila FAM kini dikatakan sudah memiliki senarai pemain asing yang berpotensi untuk diberi taraf kerakyatan untuk mewakili Harimau Malaya.

Antara nama yang tersenarai pemain kacukan kelahiran England Lee Tuck yang kini beraksi dengan Terengganu serta bekas pemain import Kedah dari Kosovo, Liridon Krasniqi.

Peluang FAM untuk mendapatkan Tuck lebih mudah memandangkan dia memiliki pertalian darah di mana neneknya berasal dari Malaysia berbanding Krasniqi yang sudah dilepaskan oleh Kedah dan belum cukup lima tahun beraksi di negara ini.

Bagaimanapun, dengan usianya kini 30 tahun, adakah perlu untuk FAM mendapatkan khidmat Tuck bagi tugasan antarabangsa.

"Kalau kita lihat, usia 30 tahun pemain Eropah masih laku berbanding pemain tempatan. Mungkin selain prestasinya bersama skuad kebangsaan, FAM boleh kaji sama ada seseorang pemain asing ini boleh menyumbang kepada aspek pembangunan sebagai jurulatih selepas bersara sebagai pemain.

"Jika dia masih boleh beri sumbangan dari segi pembangunan akar umbi berdasarkan pengalaman luasnya, FAM masih boleh mempertimbangkan untuk mengambil pemain dalam lingkungan usia itu," kata Bakri yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 3:34 PM