LEE TUCK
LEE TUCK
Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim gembira dan menyambut baik cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendaftar pemain import TFC, Lee Tuck sebagai pemain tempatan.

Beliau berkata, langkah FAM itu tepat pada masanya kerana pemain kelahiran Halifax, England itu mampu menjadi perancang yang baik jika diberi peluang menyarung jersi skuad negara.

“Saya dimaklumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang meluahkan hasrat untuk mendaftar pemain itu (Tuck) sebagai pemain tempatan.

“Kami menyambut baik cadangan itu kerana Tuck seorang pemain berkualiti dan mampu menjana dengan berkesan posisi tengah sebagaimana aksinya bersama skuad TFC.

“Apa yang saya harapkan supaya FAM mempercepatkan urusan berkaitan termasuk taraf kerakyatan Malaysia bagi membolehkan pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sekali gus dapat menyarung jersi skuad Harimau Malaya,” kata Irfan Bakti kepada Sukan NSTP.

Pemain berdarah kacukan Malaysia dan England itu yang moyangnya berasal dari negara ini dikhabarkan bakal menjadi pemain Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh yang membantu skuad negara muncul naib juara dalam saingan Piala AFF, Sabtu lalu.

Pemain yang mula menyarung jersi skuad Negeri Sembilan musim lalu sebelum menyertai skuad TFC musim ini bukan hanya bijak mengemudi jentera tengah tetapi juga berupaya meledak gol.

“Kami harap perancangan FAM itu menjadi kenyataan kerana skuad Harimau Malaya perlu mempunyai pemain berkualiti termasuk pemain naturalisasi untuk melangkah lebih jauh bukan hanya di peringkat Asia Tenggara tapi juga Asia dan seterusnya dunia.

“Lagipun pemain itu (Tuck) sudah bersetuju untuk menjadi pemain tempatan,” kata Irfan Bakti yang melihat kehadiran pemain itu mampu memperkuatkan barisan tengah skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:34 PM