B SATHIANATHAN. FOTO Hafiz Sohaimi
B SATHIANATHAN. FOTO Hafiz Sohaimi
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan pengambilan pemain naturalisasi dianggap sebagai langkah paling tepat untuk memperbaiki kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Sathianathan menjelaskan ia sebagai langkah jangka pendek yang perlu dilakukan sementara menunggu projek akar umbi terutama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang pasti memerlukan beberapa tahun lagi untuk melahirkan pemain berkaliber.

Beliau berkata, semua pihak harus bersifat lebih terbuka untuk menerima perubahan yang cuba dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) demi membawa sukan nombor satu negara itu setaraf dengan negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Kalau kita nak tunggu (pemain) projek NFDP menjelmakan keputusan buat skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini, kita tidak boleh. Cara terbaik adalah mengambil pemain naturalisasi yang muda berumur antara 18 atau 19 tahun.

“Pemain berdarah campuran kita juga tidak ramai dan yang ada pun bukan yang berkaliber tinggi. Jadi saya setuju (ambil pemain naturalisasi) untuk sementara seperti yang dilakukan Jepun sebelum ini.

“Ketika kali pertama Jepun layak ke Piala Dunia, mereka ada dua atau tiga pemain naturalisasi dari Brazil. Macam Perancis, jangan ingat mereka tiada pemain naturalisasi. Jadi kita mesti lebih bersikap terbuka.

“Pada masa sama, kita perlu kenal pasti apa masalah pemain tempatan dan perbaiki masalah itu dengan mendidik pemain muda, kerana mereka ini yang akan menggantikan tempat pemain naturalisasi nanti,” katanya.

Cadangan untuk mengambil pemain naturalisasi yang diluahkan FAM sebelum ini dilihat kurang mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahukan pemain tempatan sendiri menjulang nama Malaysia dalam sukan bola sepak.

Selain itu, Sathianathan turut menjelaskan semua pihak perlu memberi peluang kepada FAM untuk mengambil langkah paling berkesan bagi mengembalikan kepercayaan peminat terhadap skuad Harimau Malaya.

“Kalau nak kekalkan minat rakyat terhadap bola sepak, kita kena capai sesuatu kejayaan. Tapi, jika kita tiada pemain berkualiti dan asyik kalah, kita akan hilang ramai peminat.

“Minat rakyat Jepun dulu sebenarnya lebih kepada sukan baseball, tapi selepas mereka layak ke Piala Dunia, bola sepak menjadi sukan nombor satu di negara itu dan diikuti ramai peminat selain banyak penaja yang menghulurkan tajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 9:32 AM