SUMAREH (kanan) pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya. FOTO/NSTP
SUMAREH (kanan) pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengambil pemain naturalisasi untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menegaskan badan induk itu tidak mahu pasport Malaysia yang diberikan kepada pemain naturalisasi sekadar dijadikan tiket untuk mereka mengisi kuota pemain Asia Tenggara (ASEAN) di liga luar.

"Jika dilihat kebanyakan liga luar seperti Jepun dan Thailand memperkenalkan kuota import ASEAN, jadi kita tidak mahu mereka menggunakan status sebagai pemain Malaysia untuk memenuhi slot terbabit.

"Namun, apabila kita memanggil mereka untuk menyertai skuad kebangsaan, mereka tidak hadir atau memberi alasan cedera. Jadi, keikhlasan untuk beraksi bersama skuad negara dan memberikan impak positif adalah sangat penting.

"Malah, suasana dalam skuad kebangsaan sedang berada dalam keadaan yang positif, jadi kita tidak mahu mengganggu senario itu," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Setakat ini, Malaysia memiliki seorang pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang beraksi buat Pahang dan menjadi tonggak penting ketika membantu skuad negara muncul naib juara Piala AFF 2018, bulan lalu.

Selepas Sumareh, beberapa lagi nama pemain asing dikaitkan untuk menjadi pemain naturalisasi antaranya penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dan bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi.

Berdasarkan syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain asing layak bergelar pemain naturalisasi apabila mereka sudah tinggal sekurang-kurangnya lima tahun di negara tempat mereka beraksi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:27 PM