PEMAIN Pahang, Nor Azam Azih (kiri) dan Matthew Davies.
PEMAIN Pahang, Nor Azam Azih (kiri) dan Matthew Davies.
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) masih berharap agar Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dapat melepaskan pemain tengah Nor Azam Azih dan pemain pertahanan Matthew Davies menyertai skuad bawah 23 tahun negara (B-23) di Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu depan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi yang juga pengurus skuad B-23, tindakan PBNP tidak membenarkan dua pemain tonggak yang membantu pasukan mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu itu bukan saja menjejaskan persiapan pasukan, malah mengecewakan seluruh penyokong.

"Tentu sekali dengan ketiadaan pemain ini mencacatkan sedikit perancangan jurulatih, saya ingat episod tak melepaskan pemain ini sudah berakhir, tapi masih ada pasukan yang tak melepaskan pemain untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Ini bukan kekecewaan saya sebagai pengurus, tapi kekecewaan ini dikongsi dengan semua penyokong bola sepak yang menaruh harapan kepada pasukan ini.

"Saya masih menaruh harapan, saya tak tahu boleh atau tidak... pemain ini mungkin tidak dapat ikut ke China bagi latihan persediaan (esok) tapi mana tahu masih diberi ruang untuk pergi ke Indonesia nanti, saya merayu supaya Pahang beri pelepasan kepada permain ini untuk memenuhi harapan penyokong bola sepak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan hari ini.

Daripada tiga pemain Pahang yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee, hanya Faisal Halim diberi pelepasan manakala Azam dan Davies kekal bersama skuad Tok Gajah bagi mengharungi kempen Piala Malaysia.

Daripada senarai 28 pemain, kesemua pasukan tidak ada masalah untuk melepaskan pemain kecuali Pahang. Kehadiran Azam dan Davies amat penting apatah lagi ketika Kim Swee kehilangan tiga pemain akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew manakala Hadi Fayyadh Abd Razak pula bakal mengikuti sesi percubaan dengan salah sebuah kelab di Jepun.

Yusoff berkata, tidak perlu timbul soal temasya Sukan Asia ini bukan berada dalam kalendar FIFA jika setiap fikir memikirkan mengenai masa depan skuad kebangsaan.

"Semua pasukan mengorbankan kepentingan mereka, kenapa satu pasukan saja yang nak mengutamakan Piala Malaysia. Apa pun alasan kita sudah selalu dengar, bukan dalam kalendar FIFA , tak wajib hantar, tapi sekarang ini kita kena fikir kepentingan pemain-pemain ini dan pasukan kebangsaan.

"Ini lah wajah pasukan kebangsaan akan datang, kalau di peringkat umur ini sudah susah nak lepaskan, macam mana nasib skuad kebangsaan nanti. Bila nanti pasukan kebangsaan main tak betul, kita salahkan pasukan kebangsaan, kita salahkan pemain sedangkan kita sendiri tidak beri ruang kepada pemain di peringkat sepatutnya ini," katanya.

Malaysia berdepan tugas mencabar pada kempen Sukan Asia bermula 10 Ogos ini apabila diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 7:13 PM