KESEBELASAN utama PKNS FC ketika menentang pasukan Johor DT dalam saingan Liga Super, Mei lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
KESEBELASAN utama PKNS FC ketika menentang pasukan Johor DT dalam saingan Liga Super, Mei lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Asrol Awang


BEKAS ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal sedia melepaskan dua pemain PKNS FC bersama skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk tugasan negara di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan hadapan.

Pengendali PKNS itu berkata, keputusan itu diambil untuk mendahulukan kepentingan negara terutama beraksi di Sukan Asia.

Namun, beliau berkata, keputusan muktamad melepaskan Jafri Firdaus Chew dan Rodney Celvin Akwensivie bergantung kepada pengurusan kelab berkenaan.

"Bagi saya sebagai bekas jurulatih kebangsaan, kita perlu mengutamakan skuad negara jika fikirkan kebaikan dan beraksi di Sukan Asia.

"Kemungkinan kita akan lepaskan Jafri dan Rodney bergantung kepada perbincangan dengan pengurusan tertinggi PKNS," katanya.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, keputusan sama ada melepaskan tiga pemainnya beraksi di Sukan Asia bergantung kepada kata putus Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

"Keputusan muktamad daripada pihak atasan persatuan iaitu Presiden (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah)," katanya.

Tiga pemain Pahang yang dipilih adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Nor Azam Azih dan Mohd Faisal Halim.

Semalam, jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee meluahkan rasa bimbangnya hingga kemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk mereka mengharungi kempen Piala Malaysia.

Kim Swee tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan pemain yang cukup untuk mengharungi kejohanan terbabit.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan aksi Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:08 PM