Suffian mahu skuad Tok Gajah fokus. FOTO NSTP
Suffian mahu skuad Tok Gajah fokus. FOTO NSTP
Asrol Awang


MENGEKALKAN disiplin pemain menjadi fokus skuad Pahang sebaik saingan saingan Piala Malaysia bersambung pada 14 September depan.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, biarpun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, skuad itu tidak boleh terus berasa selesa.

"Mereka (pemain) perlu mengekalkan displin jika mahu meletakkan pasukan pada prestasi terbaik, terutamanya mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan.

"Kita ada cabaran besar yang bakal menanti memandangkan pasukan Perak dan Pulau Pinang juga mahu merebut slot untuk mara ke saingan suku akhir.

"Oleh itu, pemain tidak boleh tampil dengan aksi sambil lewa kerana momentum kemenangan perlu dikekalkan sebagai persediaan berdepan saingan suku akhir nanti," katanya.

Difahamkan, skuad kendalian Dollah Salleh kembali menjalani latihan esok, selepas diberi cuti seminggu.

Bagaimanapun, empat pemain utama skuad Tok Gajah iaitu kapten pasukan, Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Nor Azam Azih dan Mohamadou Sumareh tidak akan bersama dalam sesi latihan itu kerana sedang berlatih bersama pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 3:36 PM