JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
Reuters

LONDON: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengaku bimbang dengan ketiadaan deretan pemain bintangnya di kem latihan pramusim pasukan itu di Amerika Syarikat.

Pengendali kelahiran Portugal itu menyifatkan situasi berkenaan sebagai ‘amat buruk’ sebelum memulakan kempen baru Liga Perdana Inggeris (EPL).

United kehilangan beberapa pemainnya yang beraksi di Piala Dunia antaranya tonggak Perancis, Paul Pogba, penyerang Belgium, Romelu Lukaku, Marouane Fellaini dan dua pemain England, Jesse Lingard dan Marcus Rashford.

Penyerang Chile, Alexis Sanchez turut tidak menyertai pasukan susulan masalah visa.

“Pramusim amat buruk, perkara yang positif mengenai pramusim kali ini adalah pemain-pemain muda mempunyai peluang yang menakjubkan untuk berlatih bersama kami,” kata Mourinho.

“Saya bimbang kerana saya tidak berlatih (dengan semua orang) dan kemudian pergi ke EPL tanpa ramai pemain, tetapi itulah yang berlaku dan kami perlu cuba dan memanfaatkan sebaiknya pemain yang kami ada di sini.

“Saya tidak bimbang mengenai perlawanan menentang Liverpool di sini atau Real Madrid atau AC Milan... Saya tidak bimbang jika kami tewas dengan teruk.”

United akan mengharungi dua perlawanan persahabatan dimulakan dengan aksi menentang Club America, esok sebelum mengharungi kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa yang bermula minggu depan bertemu Liverpool, Real dan Milan.

Selain itu, skuad itu turut dijadual bertemu juara Jerman, Bayern Munich pada 5 Ogos sebelum membuka tirai EPL menentang Leicester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 7:03 PM