ALEXIS Sanchez diperlukan untuk mencipta magis dalam kempen pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester. Foto REUTERS
ALEXIS Sanchez diperlukan untuk mencipta magis dalam kempen pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester. Foto REUTERS
AFP

MANCHESTER United memerlukan Alexis Sanchez untuk ‘meledak’ apabila membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester, awal pagi Sabtu ini sekali gus melupakan segala masalah ketika pramusim.

Persiapan United menjelang kempen baharu didominasi oleh sikap pengurus, Jose Mourinho yang sentiasa merungut mengenai kekuatan skuad kendaliannya.

Tidak seperti kebanyakan bintang United yang lain, Sanchez memperoleh cuti rehat musim panas yang penuh buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun apabila Chile gagal ke Piala Dunia sekali gus memastikannya segar bagi membuktikan kemampuan diri.

Pada enam bulan pertamanya di Old Trafford, bekas pemain Arsenal itu gagal menyerlah, tetapi United tetap meletakkan kepercayaan terhadapnya dengan menganugerahkan kontrak baharu bernilai 25 juta pound (RM131.89 juta) pada Januari.

Sekali pun United menamatkan saingan liga musim lalu sebagai naib juara, mereka ketinggalan 19 mata di belakang Manchester City tanpa memenangi sebarang trofi dengan Sanchez hanya meledak tiga gol dalam 18 penampilan.

Ketika jelajah pramusim, Mourinho tidak gembira dengan polisi kelab ketika jendela perpindahan, mengkritik keadaan fizikal kapten, Antonio Valencia.

Pengurus itu juga bertelagah dengan Anthony Martial susulan tindakan pemain Perancis berkenaan yang tidak bersama pasukan bagi menyambut kelahiran anak keduanya.

Tetapi Sanchez memberinya sedikit ruang untuk tersenyum apabila meledak gol ketika menentang Real Madrid dan AC Milan dalam aksi persahabatan penuh glamor, malah mempertahankan penyerangnya itu yang gagal menyembunyikan kekecewaan apabila tewas 1-4 kepada seteru, Liverpool di Amerika Syarikat.

Tanpa berselindung, bekas pengurus Chelsea dan Real itu membuat komen panas dengan mengkritik standard pemain muda United, tatkala rakan sejawatnya di City, Pep Guardiola dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bertindak sebaliknya.

“Kamu mahu dia gembira dengan pemain-pemain yang ada bersamanya?” kata Mourinho sejurus kekalahan kepada Liverpool.

“Alexis satu-satunya pemain penyerang kami kami ada. Kami tidak memiliki pemain sayap, kami tidak mempunyai penyerang.

“Dia seorang saja ada di sini, dan lelaki yang kasihan ini cuba memberikan yang terbaik, dengan kekecewaan daripada seseorang yang mahukan sesuatu yang lebih.”

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku dan peledak England, Marcus Rashford sudah kembali menyertai pasukan selepas menikmati rehat tambahan susulan Piala Dunia.

Namun, kedua-duanya dijangka tidak cergas untuk bermain 90 minit menentang Leicester sekali gus memberikan ruang buat Sanchez membuktikan kemampuannya.

Ketika ramai rakan sepasukannya menjadi mangsa kritikan Mourinho termasuk pemenang Piala Dunia, Paul Pogba, segala tekanan terarah kepada Sanchez bagi membayar kembali kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:47 AM