Queiroz mahu skuadnya tewaskan Portugal menampilkan Ronaldo (kiri). FOTO AFP/EPA-EFE
Queiroz mahu skuadnya tewaskan Portugal menampilkan Ronaldo (kiri). FOTO AFP/EPA-EFE
AFP

Saransk: Jurulatih Iran, Carlos Queiroz menyifatkan pertembungan dengan Portugal dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi Selasa ini sebagai perlawanan paling menarik dan penting sepanjang tujuh tahun beliau membimbing pasukan itu.

Iran yang menewaskan Maghribi 1-0 sebelum tewas dengan keputusan sama di tangan Sepanyol tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Portugal bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

“Kami akan terus bekerja keras bagi mencapai impian kami iaitu cuba layak ke pusingan kedua. Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Namun, seperti yang saya katakan sebelum ini, sejak dari awal lagi kami memang sudah jangka tiada apa yang mudah pada saingan Piala Dunia. Menentang Portugal, ia seperti mata akhir untuk kami,” kata Queiroz yang membawa Afrika Selatan layak ke Piala Dunia 2002.

Queiroz mengakui, untuk menewaskan Portugal, anak buahnya perlu merantai pergerakan Cristiano Ronaldo yang ketika ini berada pada tahap prestasi terbaik apabila sudah merekodkan empat gol selepas dua perlawanan.

Ronaldo meledak hatrik ketika Portugal seri 3-3 dengan Sepanyol dan menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Maghribi 1-0.

Portugal selaku juara Eropah hanya perlu seri menentang Iran bagi membolehkan mereka layak ke pusingan seterusnya dengan tuan rumah, Russia atau Uruguay bakal menjadi lawan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:20 PM