Ronaldo pada aksi menentang Iran. FOTO REUTERS
Ronaldo pada aksi menentang Iran. FOTO REUTERS
AFP

MOSCOW, Russia: Aksi hambar Cristiano Ronaldo ketika menentang Iran hampir memusnahkan impian Portugal pada kempen Piala Dunia dan ia membuktikan betapa rakan sepasukannya perlu memainkan peranan yang lebih bagi membantu bintang Real Madrid itu.

Ronaldo membantu Portugal melepasi dua perlawanan pertama kumpulan dengan meledak hatrik ketika seri 3-3 menentang Sepanyol sebelum menjaringkan gol kemenangan bagi menewaskan Maghribi 1-0.

Keputusan itu menyaksikan juara Eropah berkenaan hanya memerlukan satu mata menentang Iran yang di bawah kendalian Carlos Queiroz di Saransk, tetapi aksi hambar Ronaldo membuatkan mereka terpaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Pemain terbaik dunia lima kali itu gagal menyempurnakan penalti yang mampu meletakkan Portugal di depan 2-0, selain dia bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning apabila menyiku pertahanan Iran, Morteza Pouraliganji.

Sepakan penalti yang diperoleh Iran pada lewat babak perlawanan jelas memberi tekanan kepada Portugal yang hanya mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas Mehdi Taremi gagal menyempurnakan peluang terakhir bagi menjaringkan gol.

"Saya faham, ia adalah normal. Pemain terbaik di dunia akan berdepan situasi seperti itu apabila dia tidak ada peluang untuk membuktikan kemampuan mereka," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

"Ia lebih mengecewakan diri mereka sendiri berbanding pemain lain. Mereka sentiasa mahu menang, mereka mahu jadi yang terbaik dan tidak mahu gagal."

"Apabila mereka gagal, mereka sangat kecewa."

Percubaan Santos bagi mengurangkan beban di tanggung Ronaldo adalah dengan menggandingkan pemain itu bersama, Andre Silva di bahagian serangan manakala Ricardo Quaresma diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama.

Ketika Quaresma membalas kepercayaan jurulatihnya dengan menjaringkan gol pertama sebelum tamat babak pertama, Silva dilihat kurang memberi impak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 6:55 PM