FERNANDO SANTOS
FERNANDO SANTOS
Reuters

SARANSK: Jurulatih Portugal, Fernando Santos menolak dakwaan pasukan itu terlalu bergantung harap kepada Cristiano Ronaldo dan berkata setiap pemain berusaha keras bagi memastikan mereka memainkan peranan masing-masing menjelang pertemuan Kumpulan B menentang Iran, Selasa ini.

Santos juga menegaskan juara Eropah itu perlu menang apabila turun bertemu pasukan dari Timur Tengah itu.

Portugal dan Sepanyol yang masing-masing menewaskan Maghribi kini berkongsi empat mata dan hanya memerlukan keputusan seri bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Namun Iran yang mempunyai semangat juang tinggi serta dibimbing bekas jurulatih Portugal, Carlos Queiroz turut mempunyai peluang jika diambil kira prestasi mereka ketika tewas tipis 0-1 kepada bekas juara dunia Sepanyol. 

Portugal dilihat terlalu bergantung harap kepada Ronaldo di Russia setakat ini.

Dia menjaringkan empat gol termasuk hatrik ketika seri 3-3 menentang Sepanyol.

Jaringan  Ronaldo ketika bertemu Maghribi meletakkannya sebagai penjaring utama sepanjang zaman di peringkat antarabangsa setakat ini.

Santos berkata, dia tidak bimbang dengan apa yang Queiroz tahu mengenai Ronaldo dan percaya setiap pemain mempunyai fungsi masing-masing.

“Ia akan dapat disaksikan dengan jelas apabila Portugal bertemu Iran. Ia bukan jurulatih yang bermain dan bukan juga mengenai Cristiano Ronaldo yang turun menentang seseorang. Ia adalah satu pasukan yang akan menentang Iran,” katanya.

Biarpun mengumpul empat mata, Portugal terpaksa bergelut untuk mencapai prestasi terbaik mereka setakat ini di Russia dan aksi mereka seharusnya lebih baik. Mujur sepakan percuma, Ronaldo menyelamatkan maruah pasukan itu apabila seri menentang Sepanyol dalam perlawanan sebelum ini.

Santos bagaimanapun memuji Iran ‘sebagai sebuah pasukan terbaik Asia’ dan meramalkan satu pertemuan sengit di Saransk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 4:57 AM