PEMAIN Iran, Mehdi Taremi diasak dua pemain Sepanyol. Foto AFP
PEMAIN Iran, Mehdi Taremi diasak dua pemain Sepanyol. Foto AFP
AFP

IMPIAN Iran untuk mara ke pusingan kalah mati masih belum tertutup meskipun tewas 1-0 di tangan Sepanyol awal pagi tadi, namun jurulatihnya, Carlos Quieroz mengakui anak buahnya perlu berjuang habis-habisan pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang negara kelahirannya, Portugal minggu depan.

Queiroz menegaskan pemainnya berhak mendapat pujian kerana menampilkan aksi yang begitu kemas sebelum dikecewakan gol ‘pelik’ Diego Costa, dan jaringan mereka tidak dikira selepas dinilai semula menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR). 

“Kami bersedia untuk menderita dan bersaing dalam usaha memenangi perlawanan ini. Bola sepak  bukanlah begini, namun adil untuk menyatakan betapa kami layak mendapat keputusan yang lebih baik. 

“Namun ini baru set pertama. Kalau kita bandingkan dengan tenis, set kedua kami adalah menentang Portugal. Kami masih lagi boleh bermimpi untuk mara ke pusingan seterusnya.”

Iran bergantung sepenuhnya kepada kekentalan benteng pertahanannya untuk tempoh 54 minit perlawanan sebelum bola terbias mengenai lutut Diego Costa dan memasuki gawang untuk gol kemenangan lawan. 

Queiroz enggan mengulas mengenai keputusan VAR yang membatalkan jaringan Saeid Ezatolahi kerana berada dalam kedudukan ofsaid, sebaliknya menyatakan ia satu kerugian apabila sistem itu belum digunakan pada Piala Dunia 2010 yang menyaksikan pasukannya, Portugal tewas di tangan Sepanyol menerusi jaringan kontroversi. 

Kemenangan mereka ke atas Maghribi pada aksi pertama menyaksikan mereka kini ketinggalan satu mata di belakang Portugal dan Sepanyol dengan detik penentuannya adalah pada aksi bertemu juara Eropah itu di Saransk, Isnin ini. 

“Kami begitu bersemangat untuk mengharungi perlawanan terakhir ini. Kami tahu ia sukar, namun kami tidak datang ke sini dengan mengharapkan perkara yang mudah. Hanya satu perkara dalam fikiran kami.” 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 8:34 AM