JUN Hao
JUN Hao
Fabian Peter

Bangkok: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menjangkakan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei kemungkinan akan membarisi skuad kebangsaan pada edisi Piala Thomas seterusnya.

Selepas gagal untuk memenuhi sasaran melangkah ke separuh akhir kejohanan berprestij itu di Bangkok, Misbun berkata: “Secara jujur saya hanya berpuas hati dengan barisan pemain perseorangan negara.

“Seperti dijangka (Datuk) Lee Chong Wei membuktikan betapa penting dia di dalam pasukan apabila tidak pernah gagal memberikan mata pertama kepada negara.

“Zii Jia juga menunjukkan kematangan. Kini dia mula memahami apa yang diperlukan olehnya. Berikannya dua tahun dan saya yakin dia akan menjadi seorang pemain lebih cemerlang,” katanya.

Misbun kemudian berkata, kurangnya pengkhususan tertentu adalah antara faktor utama yang menyebabkan skuad negara gagal memenuhi sasaran ke separuh akhir.

“Kita perlu mengetepikan soal kepentingan individu. Lihat bagaimana pasukan seperti Denmark yang bersatu sebagai sebuah pasukan.

“Budaya seperti ini perlu diterapkan sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Pemain seperti Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) bagi saya ketinggalan lima tahun ke belakang daripada potensi sebenarnya. Dia sepatutnya mampu mempamerkan aksi seperti ini lima tahun lalu.

“Tapi saya perlu memberikan kredit kepadanya kerana semangat juangnya yang tinggi. Seperti Chong Wei, saya lihat Iskandar mempunyai kaliber sebagai seorang ketua.

“Dia hanya kurang daripada segi permainan dan skil.

“Sudah tentu saya akan melakukan penilaian semula sama ada dia masih lagi releven untuk pasukan atau tidak. Jika kami mahu menggugurkannya, terpulang kepada pihak pengurusan.

“Saya hanya membuat penilaian daripada perspektif saya saja,” katanya.

Misbun yang mengambil alih tugas selaku jurulatih perseorangan pertengahan tahun lalu mengakui dengan tumpuan yang khusus, Malaysia seharusnya mampu membentuk sebuah pasukan mantap untuk beberapa tahun lagi.

“Daripada kejohanan ini, saya melihat Zii Jia dan Jun Hao membuktikan mereka mempunyai kemampuan melebihi jangkaan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 3:45 AM