LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI
Fabian Peter


JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak sabar menanti pelantikan Menteri Belia dan Sukan baharu berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum Ke-14.

“Saya tidak sabar menanti Menteri Sukan baharu,” kata Chong Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi tadi.

“Kita tahu sebelum ini Khairy (Jamaluddin) melakukan tugasnya dengan baik. Di bawahnya, atlet menikmati ganjaran yang tinggi apabila beraksi cemerlang di Sukan Olimpik dan Paralimpik.

“Malaysia juga muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur dan kita berjaya melahirkan ramai juara dunia.

“Kita tidak tahu bila menteri baru akan mengambil alih, tapi saya yakin orangnya nanti pasti akan melakukan tugas dengan baik juga.”

Sementara itu sebagai kapten skuad Piala Thomas, Chong Wei percaya pasukan kebangsaan kini dalam semangat membara menjelang cabaran di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Ditanya sama ada dia bermain dalam semua perlawanan, pemain 36 tahun itu berkata: “Ia akan ditentukan jurulatih kami (Misbun Sidek dan Hendrawan). Saya akan menjadi salah seorang pemain tertua tahun ini, jadi saya harap mampu merangsang pemain muda untuk tampil.

“Sudah tentu saya jangka akan bermain dalam perlawanan lebih sukar, tapi kita tahu siapa yang akan bermain di peringkat kumpulan, jadi saya serahkannya kepada jurulatih.

“Ini peluang buat pemain seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Iskandar (Zulkarnain Zainuddin). Kita semua mahu menang, tidak ada sesiapa ke Piala Thomas untuk kalah. Ia seperti Piala Dunia untuk badminton.”

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Russia dan Algeria.

Kali terakhir Malaysia menjulang piala itu pada 1992 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 2:53 PM