LEE Zii Jia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
LEE Zii Jia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ferzalfie Fauzi

SEGALA ramuan dan pesanan bakal diadun sebaik mungkin ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek bagi mempersiapkan Lee Zii Jia yang berdepan laluan sukar di Terbuka Malaysia, hari ini.

Misbun sedar bahawa Zii Jia tidak mendapat laluan mudah untuk kejohanan yang akan dilangsungkan di Arena Axiata - gelanggang keramat buat jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Zii Jia akan berdepan lawan yang pernah mengalahkannya, Suppanyu (Avihingsanon), jadi kita sudah melakukan analisa bagaimana untuk mengatasi pemain Thailand itu,” katanya ketika ditemui media di Arena Axiata di Bukit Jalil, semalam.

Ujar Misbun, beliau mahu melihat kestabilan, pemikiran dan kecerdikan Zii Jia dalam melepasi pusingan pertama.

“Jika dia (Zii Jia) fikir tidak berdepan masalah menghadapi lawannya itu, kita akan dapat melihat keputusannya nanti tapi jika dia rasa rendah diri, pasti bahaya,” kata legenda perseorangan lelaki negara itu.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-duanya terikat 1-1 namun pada aksi terakhir, pemain kelahiran Kedah itu menang 21-14, 21-12 di Kejohanan Berpasukan Asia tahun lalu.

Jika melepasi halangan Suppanyu, Zii Jia berkemungkinan berdepan pemain ranking ketiga dunia, Chou Tien Chen (Taiwan) atau juara Terbuka Malaysia 2017 dari China, Lin Dan.

“Ikutkan teknik, taktikal dan konsisten, kemampuan Zii Jia masih lagi separuh berbanding Lin Dan. Bagaimanapun, dari segi ledakan dan tenaga boleh dikatakan dia lebih daripada bintang China itu. Kita akan mengolah permainan agar Zii Jia mempunyai peluang dan mengambil kesempatan ke atas Lin Dan kerana lawannya sangat bijak serta memenangi hampir semua kejohanan besar di dunia,” kata Misbun.

Jelas beliau, bukan senang untuk mengatasi bekas pemain nombor satu dunia itu, namun banyak taktik dan jalan keluar buat Zii Jia mencuba kerana ia adalah lebih utama.

Berdasarkan prestasi musim ini, pencapaian terbaik Lin Dan adalah mara ke perlawanan akhir Masters Thailand sebelum kalah kepada pemain Singapura kelahiran Malaysia, Loh Kean Yew.

Di Seluruh England, Lin Dan tumpas di suku akhir kepada Anthony Sinisuka Ginting, namun Misbun mengakui beliau tidak termakan dengan percaturan skuad badminton China.

“Kalau kita tengok ia adalah satu percaturan dan perancangan dari Lin Dan (bukannya prestasi merudum) mereka lebih memberi ruang kepada pemain muda. Kalau betul-betul dia hendak bermain saya rasa dia masih lagi unggul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 10:28 AM