MUHAMMAD EZUAN NASIR KHAN
MUHAMMAD EZUAN NASIR KHAN
BERNAMA

BRISBANE: Hanya 0.5 mata memisahkan penembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dan layak ke peringkat akhir acara 10m air rifle pada temasya Sukan Komanwel 2018.

Ia sekaligus menidakkan hasrat pembidik negara itu untuk menebus kekecewaan lalu dalam edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Penembak berusia 29 tahun itu mengakui bermula agak goyah pada awal tembakan ekoran cuaca yang agak panas hari ini.

“Apun terjadi saya tetap berjuang sampai bidikan terakhir. Saya lawan dan bangun balik cuma bukan rezeki saya untuk ke final,” katanya.

Dalam acara yang berlangsung di Belmont Shooting Centre, Muhammad Ezuan menduduki tempat kesembilan selepas mengutip 614.6 mata, 0.5 mata memisahkannya daripada penembak England, Dean Bale yang menduduki tempat kelapan.

“Semasa di Glasgow 2014, saya layak ke final tapi ada sedikit kesilapan jadi saya tamat pada tempat keenam.

“Kalau ditengokkan markah, ada peningkatan daripada di Glasgow,” katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 itu akan kembali beraksi dalam acara kegemarannya 50m rifle prone pada Selasa.

Seorang lagi penembak negara, Bibiana Ng pula gagal menyerlah dalam acara 10m air pistol wanita apabila sekadar menamatkan saingan pada tempat ke-11dengan 370 mata.

Jurulatih menembak kebangsaan, Mohd Sabki Mohd Din berkata, beliau meminta kedua-dua atlet itu melupakan kekecewaan hari ini dan terus berjuang dalam aksi mereka seterusnya.

“Saya minta Ezuan lupakan apa berlaku hari ini dan kekecewaan hari ini dibalas dalam acara kegemarannya iaitu 50m rifle prone,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:13 PM