ATLET menembak, Suryani Mohd Taibi akhiri kempen dengan menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan 571 mata dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita. - Foto Yazit Razali
ATLET menembak, Suryani Mohd Taibi akhiri kempen dengan menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan 571 mata dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita. - Foto Yazit Razali
Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

PENEMBAK veteran, Hasli Izwan Amir Hasan dan Nur Suryani Taibi sepatutnya memikirkan untuk bersara selepas gagal mempamer persembahan yang baik dalam acara masing-masing di Pusat Menembak Belmont.

Haslin yang berumur 41 tahun, tampil buat kali keenam di temasya Sukan Komanwel, turun satu kedudukan berbanding temasya yang lalu kepada tempat ketujuh selepas mengakhiri peringkat dua pusingan kelayakan 25 meter rapid fire dengan 564 mata, hari ini.

Penembak itu ketinggalan dua mata untuk melayakkan diri ke final, yang akhirnya dimenangi penembak India berumur 16 tahun, Anish Bhanwala dengan rekod baharu temasya (di final) dengan 30 mata.

“Saya gagal ke final. Bagaimanapun, saya sudah melakukan yang terbaik tetapi ia tidak cukup bagus. Saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk membaiki kelemahan saya,” kata Hasli.

Nur Suryani mengakhiri kempen dengan menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan 571 mata dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita.

Penembak berumur 36 tahun itu juga tidak melayakkan diri ke final 10m air rifle dan 50m prone.

Sukan menembak akan melabuhkan tirainya esok dengan acara trap lelaki dan 50m rifle tiga posisi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:37 PM