MOHD EZUAN NASIR KHAN
MOHD EZUAN NASIR KHAN
Aziman Rosdi


PENEMBAK kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan pasti boleh menarik nafas lega apabila kecederaan jari kanan yang mengalami keretakan kecil kini pulih sepenuhnya menjelang Sukan Komanwel Komanwel di Gold Coast bulan depan.

Penembak berusia 29 tahun itu kembali berlatih esok selepas berehat hampir dua minggu akibat kecederaan pada jari kelengkingnya.

“Alhamdulillah, saya akan mula berlatih esok selepas doktor menasihatkan saya supaya berehat. Selepas membuat rawatan fisioterapi dan berubat secara kampung, jari saya kembali OK, memang pada awalnya agak merisaukan kerana hari kejohanan semakin dekat,” katanya.

Ezuan antara sembilan penembak yang bakal membawa cabaran negara pada temasya kedua terbesar dunia itu.

Selain Ezuan, skuad menembak mempertaruhkan penembak berpengalaman dengan menyenaraikan pemenang pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) seperti Johnathan Wong, Benjamin Khor dan Alia Sazana Azahari.

Malah, bekas pemenang emas Sukan Komanwel, Bibiana Ng dan perak, Nur Suryani Mohd Taibi turut mendapat kepercayaan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dalam buruan sekurang-kurangnya satu emas di Gold Coast.

Bagi Ezuan, dia mengharapkan pencapaian lebih baik dalam dua acara 50m rifle prone dan 10m air rifle selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dan keenam di Glasgow empat tahun lalu.

“Saya yakin untuk membawa balik pingat kali ini, tak kisah sebarang pingat kerana saya sedar saingan di pentas Komanwel khususnya dengan kehadiran penembak tuan rumah, India dan Bangladesh,” kata pemenang perak Sukan Asia Incheon 2014 itu.

INFO:

Sukan: Menembak

Tarikh: 8-14 April

Venue: Pusat Menembak Belmont

Sasaran: 1 Emas

Pencapaian 2014: Satu pingat gangsa

Atlet:

1. Muhammad Ezuan Nasir Khan (50m rifle prone individu lelaki, 10m air rifle individu lelaki)

2. Johnathan Wong - 50m pistol individu lelaki, 10m air pistol individu lelaki

3. Hasli Izwan Amir Hasan - 25m rapid fire pistol

4. Charles Seong Fook - Trap individu lelaki

5. Benjamin Khor - Double trap individu lelaki

6. Abraham Eng Wei Jin - Double trap individu lelaki

7. Nur Suryani Mohamed Taibi - 50m rifle 3 posisi individu wanita, 50m rifle prone individu wanita, 10 air rifle individu wanita

8. Alia Sazana Azahari - 25m pistol individu wanita

9. Bibiana Ng - 10m air pistol

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:22 PM