PEMAIN Blue Warriors, Marlia Mohamed (kanan) yang beraksi di posisi pertahanan tengah sepanjang musim ini diharap dapat mematahkan gerakan lawan. - Foto OWEE AH CHUN
PEMAIN Blue Warriors, Marlia Mohamed (kanan) yang beraksi di posisi pertahanan tengah sepanjang musim ini diharap dapat mematahkan gerakan lawan. - Foto OWEE AH CHUN
Naqib Nor Said


PENGENDALI Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin berharap barisan pertahanan 'bidan terjunnya' tampil cemerlang apabila turun menentang PKS Uniten-KPT dalam aksi ulangan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) esok.

Pertemuan di Stadium Hoki Bukit Jalil itu diadakan semula sebagai ganti kepada aksi pusingan pertama bulan lalu yang terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca yang buruk.

Begitupun, kelebihan tampak memihak kepada PKS Uniten, biarpun kedua-dua pasukan kini terikat 22 mata di persada liga dengan berbaki empat aksi.

Ini kerana PKS Uniten dianggap sebagai serba lengkap di setiap posisi berbanding Blue Warriors yang terpaksa menggunakan khidmat dua pemain tengah Nadia Abd Rahman dan Marlia Mohamed di bahagian pertahanan kerana kekurangan pemain di posisi terbabit sepanjang musim ini.

Perkara itu diakui Zulkhairi yang berharap dua tonggak pasukannya itu memastikan benteng pertahanan pasukan naib juara musim lalu itu tidak bocor apabila melayani kunjungan PKS Uniten yang sudah mencetak 43 jaringan pada musim ini.

"Peluang kedua-dua pasukan agak seimbang, cuma saya berharap barisan pertahanan kami akan tampil lebih kemas terutamanya Marlia dan Nadia yang setakat ini mempamerkan persembahan konsisten.

"Memang tidak dinafikan kami mempunyai penjaga gol terbaik Asia (Farah Ayuni Yahya), tetapi sekiranya berterusan diserang sampai bila dia mampu bertahan? Sebab itu bahagian pertahanan dan tengah perlu patahkan gerakan lawan," katanya.

Marlia dan Nadia yang juga bekas kapten skuad hoki negara, beraksi di posisi pertahanan tengah sepanjang musim ini sambil dibantu Nor Aini Tajuddin dan Liyana Aqilah Sepawi sebagai pertahanan kiri dan kanan.

Malah, Zulkhairi tidak menolak kemungkinan akan meletakkan lebih ramai pemain di bahagian tengah bagi mematahkan serangan PKS Uniten yang menampilkan trio penyerang utama negara Hanis Nadiah Onn, Fatin Shafika Mahd Sukri dan Wan Norfaiezah Md Saiuti.

"Apapun saya berharap pemain saya tidak tewas dan sekurang-kurangnya cuba mencuri mata daripada PKS Uniten kerana kami langsung tidak boleh tewas pada baki empat perlawanan sekiranya mengimpikan kejuaraan."

Jadual

Esok

PKS Uniten mln Blue Warriors

(Std Hoki Bkt Jalil, 5ptg)

Selasa 

MSN Kedah mln KL Wipers

(Std Hoki Kulim, 5ptg)

Penang Jrs mln TLHT

(STd Hoki USM, 5ptg)    

Blue Warriors mln PKS Uniten

(Std Hoki Tun Razak, 5ptg)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 9:14 PM