PEMAIN Anderson Thunderbolts (kanan) Afififul Najmi Masri beraksi  menentang pasukan Hoki MBPJ pada Perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 di Stadium Hoki KPM. -Foto HAFIZ SOHAIMI
PEMAIN Anderson Thunderbolts (kanan) Afififul Najmi Masri beraksi menentang pasukan Hoki MBPJ pada Perlawanan Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 di Stadium Hoki KPM. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Naqib Nor Said

PENGENDALI MBPJ Tigers, Mohd Harfizi Baharom menegaskan beliau masih belum terdesak untuk menekan butang panik walaupun skuad juara bertahan itu menampilkan persembahan tidak konsisten dalam permulaan kempen Liga Hoki Remaja Malaysia musim ini.

Tewas dua perlawanan terakhir selepas seri pada aksi sulung, Harfizi mengakui pasukannya masih bergelut dengan masalah keserasian dan ia harus diperbaiki secepat mungkin.

“Pemain saya bermain bagus hari ini (semalam) cuma kekurangan keserasian dan kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang menyebabkan kami tewas.

“Tetapi saya tidak boleh salahkan mereka kerana 12 pemain kali ini muka baharu dan tempoh persiapan yang singkat sejak Februari lalu, tambah menyukarkan keadaan,” katanya.

MBPJ mencatat keputusan seri 1-1 dengan SSTMI dalam perlawanan pertama liga, sebelum kecundang 1-3 kepada AHP-SSP Thunderbolts dan 1-4 di tangan Anderson Thunderbolts, semalam.

Bagaimanapun, Harfizi menjelaskan anak buahnya sudah bersedia untuk bangkit memburu kemenangan pertama apabila turun bertemu Olak dalam aksi keempat liga di Stadium Hoki Pandamaran esok.

“Berbanding dua aksi pertama, keserasian pemain saya sedikit meningkat dalam pertemuan dengan Anderson dan saya yakin jika mereka terus berusaha keras pastinya kami akan meraih kemenangan sulung,” katanya.

Selain pertembungan musuh setempat Lembah Klang itu, fokus lain bagi aksi minggu ketiga ini pastinya akan terarah terhadap pertemuan antara peneraju liga SSTMI Thunderbolts dan Anderson Thunderbolts.

Aksi di Stadium Hoki SSTMI itu pastinya menghidangkan ‘drama’ menarik perseteruan antara dua mesin gol muda negara iaitu Akhimullah Anuar Esook bagi SSTMI Thunderbolts dan Mohd Azrai Aizad Abu Kamal (Anderson).

JADUAL ESOK

SSTMI Thunderbolts mln Anderson Thunderbolts

(Std Hoki SSTMI, 6ptg)

Olak mln MBPJ Tigers

(Std Hoki Pandamaran, 5ptg)

MSNSSN Perlis mln SSMS Resilient

(Std Hoki Kangar, 5ptg)

SSTMI mln AHP-SSP Thunderbolts

(Std Hoki SSTMI, 4ptg)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:35 PM