SOON Huat-Shevon menjadi wakil tunggal beregu campuran negara yang berjaya mara sehingga separuh akhir Masters Malaysia. Foto fail
SOON Huat-Shevon menjadi wakil tunggal beregu campuran negara yang berjaya mara sehingga separuh akhir Masters Malaysia. Foto fail
Helmi Talkah


SELEPAS tidak disenaraikan ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie enggan lagi berputih mata dengan tempat beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia kini menjadi buruan mereka.

Walaupun kini bergelar beregu campuran nombor dua negara berdasarkan ranking dunia, namun Soon Huat-Shevon terpaksa akur dengan dua lagi pasangan yang lebih berpengalaman, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang disenaraikan beraksi di Gold Coast.

Kian Meng-Pei Jing memegang status beregu campuran nombor satu negara dengan kedudukan ke-10 dunia diikuti Soon Huat-Shevon (13) dan Peng Soon-Liu Ying (21).

Bagi Shevon, untuk memastikan dia dan Soon Huat dipilih membawa cabaran Malaysia di Jakarta, mereka perlu menghasilkan keputusan positif dalam setiap kejohanan disertai bagi memikat hati ketua jurulatih, Chin Eei Hui.

“Walaupun kami tidak disenaraikan ke Sukan Komanwel namun kami tidak akan berputus asa. Sebaliknya, ini adalah cabaran buat kami untuk terus menunjukkan prestasi yang baik dan sasaran utama kami adalah dipilih beraksi pada Sukan Asia.

“Kami perlu akui, kami masih beregu campuran ketiga negara biarpun ranking dunia kami lebih tinggi. Apa pun, kami akan buat yang terbaik untuk mendapat tempat nanti,” kata Shevon yang ditemui selepas aksi separuh akhir Masters Malaysia, malam tadi.

Soon Huat-Shevon menjadi wakil tunggal beregu campuran negara yang berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-14, 12-21, 13-21.

Kekalahan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon gagal mempertahankan gelaran naib juara yang dimenangi mereka pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Sibu, Sarawak.

Soon Huat-Shevon kini mengalihkan fokus untuk menghadapi saingan Masters Indonesia yang bermula Selasa ini.

Mereka berdepan tugas sukar di Indonesia apabila berdepan pasangan China yang juga pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongping di pusingan pertama.

“Kami akan cuba buktikan sesuatu dan melakukan yang terbaik. Sudah pasti ia cabaran yang sukar untuk kami di pusingan pertama tetapi kami tetap akan berjuang habis-habisan,” kata Soon Huat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 12:35 PM