PEMAIN beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing. FOTO Eizairi Shamsudin
Helmi Talkah


BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing optimis peluang masih terbuka untuk mereka membuktikan kemampuan dalam usaha dipilih bagi beraksi pada Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, Ogos depan. 

Selain Kian Meng-Pei Jing, turut bersaing merebut tempat ke Jakarta ialah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. 

Malaysia hanya boleh menyenaraikan dua pasangan beregu campuran ke Sukan Asia. 

Bagi Kian Meng, ia adalah persaingan yang sihat antara mereka bagi merebut tempat dengan hanya yang terbaik akan disenaraikan ke Jakarta. 

"Bagi saya peluang masih terbuka biarpun sebelum ini saya dan Pei Jing mengalami kemerosotan prestasi dan digugurkan dalam dua kejohanan iaitu Terbuka New Zealand Terbuka Australia. Saya terimanya dengan positif kerana ini membolehkan kami fokus kepada latihan. 

"Apapun, ia persaingan yang sihat untuk kami dan kami pastinya akan memberikan yang terbaik. Diharapkan, saya dan Pei Jing boleh menghasilkan keputusan yang positif pada Terbuka Malaysia nanti," kata Kian Meng ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini. 

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Soon Huat-Shevon di kedudukan ketujuh diikuti Kian Meng-Pei Jing (11) manakala Peng Soon-Liu Ying (26). 

Namun, Peng Soon-Liu Ying lebih berpengalaman dan konsisten terutama ketika saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 6:57 PM