PENG Soon dan Liu Ying atasi cabaran beregu Jepun. FOTO BAM
PENG Soon dan Liu Ying atasi cabaran beregu Jepun. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai menempah tiket ke suku akhir Terbuka Perancis selepas mempamerkan aksi cemerlang hari ini.

Peng Soon-Liu Ying hanya memerlukan 40 minit untuk menundukkan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Masaki Matsutomo 21-19, 21-14. Menanti pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu adalah Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang menewaskan satu lagi beregu negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.

Pang Ron-Yee See tewas kepada pilihan ketiga kejohanan 16-21, 18-21 dalam aksi berlangsung 35 minit manakala Soon Huat-Shevon Lai tidak perlu bermandi peluh untuk menewaskan beregu Rusia, Rodion Alimov-Alina Devletova 21-9, 21-13 dalam perlawanan yang berlangsung 24 minit.

Namun cabaran getir menanti Soon Huat-Shevon Lai apabila mereka bertemu pilihan pertama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir awal pagi esok.

Sementara itu langkah satu lagi beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terhenti di pusingan kedua selepas dikecewakan pasangan dari Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 22-20, 21-23, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 11:41 PM